Penjawat awam dibenar pakai batik tidak hanya pada Khamis - Nik Nazmi

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Nik Nazmi)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Nik Nazmi)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelonggaran pemakaian batik pada hari bekerja lain, tidak hanya pada Khamis memberi keselesaan kepada penjawat awam untuk menyesuaikan cara pemakaian dengan perubahan suhu premis yang telah ditetapkan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, menyokong inisiatif kecekapan tenaga sekali gus merangsang pembangunan industri batik Malaysia.

Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju supaya semua penjawat awam diberi kebenaran dan kelonggaran untuk memakai pakaian batik pada waktu bekerja, tidak hanya pada hari Khamis seperti sebelum ini.

"Keputusan yang dicapai telah mengambil kira iklim di negara ini dan juga komitmen kerajaan untuk mencapai aspirasi pembebasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal 2050 dengan mengurangkan jejak karbon daripada amalan penggunaan tenaga elektrik,” katanya.

Nik Nazmi berkata, cadangan perubahan terhadap kod etika pakaian itu juga akan dipanjangkan kepada semua Ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menurut Nik Nazmi, beliau telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri Energy Efficiency and Conservation Act (EECA) dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Ogos lepas.

Beliau berkata, turut dibangkitkan dalam pembentangan itu ialah berkenaan Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2014: Garis Panduan Kaedah Penjimatan Tenaga di Pejabat dan Premis Kerajaan yang antara lain menetapkan supaya suhu di bangunan dan premis kerajaan diselaraskan kepada 24 darjah Celsius hingga 25 darjah Celsius.

Terdahulu, menurut surat edaran "Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan” bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed, semua pegawai perkhidmatan awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis, manakala pemakaian pada hari bekerja lain digalakkan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

Penjawat awam diwajibkan pakai batik Malaysia setiap Khamis