Sektor perbankan pemangkin perubahan ekonomi hijau - Nik Nazmi

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institusi kewangan digesa bekerjasama dengan agensi kerajaan dan organisasi awam untuk mewujudkan perkongsian bagi memacu pembangunan mampan dan menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi hijau.

Dalam membuat seruan itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerjasama industri merupakan instrumen paling berkuasa untuk menyokong matlamat Malaysia itu, justeru, sektor perbankan perlu menyedari akan peranannya sebagai pemangkin bagi perubahan tersebut.

Menurutnya, sektor perbankan memiliki kuasa kewangan yang amat besar, berupaya memacu keputusan pelaburan ke arah alternatif lebih hijau.

"Dengan memasukkan projek tenaga mampan ke dalam portfolio pinjaman mereka, institusi kewangan boleh memberi insentif dan menggalakkan pembangunan infrastruktur tenaga bersih.

"Ini akan memainkan peranan penting dalam mempercepat peralihan tersebut dengan menyediakan kepada perniagaan dan individu modal yang diperlukan untuk meneruskan inisiatif tenaga boleh baharu (TBB).

"Sememangnya, dengan menyokong projek sedemikian, bank sebenarnya 'mengundi' bagi kemampanan dan kelaknya akan membawa masa depan yang lebih baik kepada Malaysia," katanya pada Persidangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Antarabangsa bertajuk "Shaping Today For Tomorrow' di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata, bank-bank boleh memupuk budaya bertanggungjawab terhadap alam sekitar, menggalakkan perniagaan dan individu untuk beralih kepada sumber TBB, yang boleh termasuk menawarkan insentif kewangan untuk pemasangan TBB dan projek cekap tenaga.

Beliau juga berkata, kerjasama antara sektor perbankan dan kerajaan adalah penting dalam memastikan peralihan tenaga yang berjaya kerana negara menyasar memiliki kapasiti TBB sehingga 70 peratus menjelang 2050.

Artikel Berkaitan:

"Dengan bekerjasama, kita boleh membangun dan melaksanakan dasar kewangan dan rangka kerja kawal selia yang menyokong pelaburan tenaga bersih.

"Kerjasama ini juga boleh membantu menangani sebarang kemungkinan halangan kewangan yang mungkin menghalang penggunaan teknologi TBB," katanya.

Mengenai perkembangan lain, Nik Nazmi memberitahu, pemberita kemudiannya bahawa fasa kedua Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada akhir bulan ini.

Beliau berkata, Fasa 2 akan memberi lebih tumpuan kepada dasar yang lebih luas untuk melengkapkan Fasa 1, yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada 27 Julai lepas. - Bernama