Belanjawan Perak 2024: JAIPk utamakan masjid, surau daif terima peruntukan

Harith Fadzilah (kiri) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran TVET Anak Yatim di TIC pada Isnin.
Harith Fadzilah (kiri) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran TVET Anak Yatim di TIC pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan memberi keutamaan kepada masjid dan surau daif untuk menerima peruntukan RM15 juta yang disediakan dalam Belanjawan Negeri Perak 2024.

Pengarahnya, Harith Fadzilah Abd Halim berkata, bagi tujuan itu JAIPk sedang meneliti masjid dan surau daif yang mempunyai kutipan sumbangan Jumaat rendah untuk menerima dana berkenaan.

Jelas beliau, bagi masjid atau surau yang berkemampuan dan mempunyai kutipan Jumaat tinggi digalakkan menggunakan dana sendiri bagi tujuan baik pulih bangunan masing-masing.

"Kerajaan negeri telah melihat bahawa pengurusan agama ini sesuatu yang penting terutamanya surau dan masjid yang memerlukan kewangan untuk pengurusan.

"Keutamaan bagi masjid-masjid dan surau yang benar-benar memerlukan. Maknanya (masjid) yang ada duit banyak pakailah duit masjid dahulu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Anak Yatim di Kolej Antarabangsa Taj (TIC) di sini pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Eksekutif TIC, Tina Tajuddin.

Menurutnya, terdapat lebih 700 masjid dan lebih 2,000 surau di Perak yang perlu dipertimbangkan untuk menerima bantuan berkenaan.

Sementara itu, Harith Fadzilah berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyediakan peruntukan yang besar dalam memartabatkan agama Islam di dalam Belanjawan Negeri Perak 2024.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, kita berterima kasih kepada kerajaan Perak yang telah memperuntukkan sejumlah bajet besar khususnya kepada pengurusan JAIPk.

"Sebenarnya itu lebih kepada pengurusan keseluruhan ia melibatkan banyak seperti sekolah agama rakyat, sekolah pondok.

"Kita ada banyak tanggungan yang perlu kita selesaikan. Kita turunkan kepada pihak-pihak yang sepatutnya menerima peruntukan itu," katanya.