Kem al-Fara di Palestin sasaran baharu serangan Israel

Angka korban di Tebing Barat dan al-Quds sejak awal tahun 2023 mencecah 478 orang.
Angka korban di Tebing Barat dan al-Quds sejak awal tahun 2023 mencecah 478 orang.
A
A
A

TUBAS (Palestin) - Penghuni Kem Pelarian al-Fara yang terletak di selatan Tubas, bandar di timur laut Tebing Barat, Palestin Jumaat lalu dikejutkan dengan serangan hendap tentera Israel.

Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan serangan hendap berkenaan mengakibatkan enam penghuni terkorban, manakala sembilan lagi cedera apabila tentera Zionis Israel mengepung kem mereka kira-kira sejam bermula sembilan pagi sebelum melepaskan tembakan rambang bertubi-tubi ke arah kem itu.

Menurut seorang aktivis di Kem al-Fara, Khalid Mansur;

"Selepas mengepung kem, beberapa penembak hendap menaiki bumbung bangunan berhampiran termasuk kompleks perubatan Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA). Mereka kemudiannya melepaskan tembakan rambang ke arah kami mengorbankan enam orang.”

"Tentera Zionis sering kali menyasarkan kem pelarian memandangkan kem ini penuh sesak dengan rakyat Palestin”, katanya.

Kem Pelarian al-Fara yang diasaskan pada tahun 1949 itu menempatkan seramai 6,350 orang pelarian berdasarkan data Pusat Statistik Palestin pertengahan tahun ini.

Khalid menjelaskan, antara mereka yang syahid itu ada yang terbunuh semata-mata kerana ingin keluar melihat apa yang berlaku di sekitar kediaman mereka dan ada yang terkorban ketika cuba menarik jirannya yang ditembak mati di hadapan rumahnya.

"Paling menyedihkan korban termuda dalam kalangan mereka ialah Mahir Abdullah Jawabirah, 14, iaitu anak saudara kepada Mahir Jawabirah yang mati syahid bersama enam lagi mangsa yang lain semasa permulaan Intifada al-Aqsa pada tahun 2001, apabila tentera Israel membedil kawasan berhampiran kem pelarian yang sama,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penghuni kem berkenaan, Ummu Muhammad mengesahkan bahawa serangan kali ini adalah yang paling dahsyat dan berbahaya berbanding serangan sebelum ini.

"Kelongsong peluru bertaburan di atas tanah. Selain menembak secara rambang, tentera Zionis juga dengan sengaja merosakkan harta benda kami, terutamanya kenderaan.

"Ada yang penuh dengan kesan peluru, ada juga yang dibakar musnah sepenuhnya,” katanya.

Sebelum ini, Zionis Israel sudah pun menyasarkan kem pelarian lain di Tebing Barat termasuk Kem Jenin, Tulkarm, Nur Shams dan Aqabat Jaber, menjadikan Kem al-Fara satu episod baharu dalam siri serangan terancang Israel.

Media melaporkan angka korban di Tebing Barat dan al-Quds sejak awal tahun 2023 mencecah 478 orang, manakala Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan 272 orang terkorban sejak Israel memulakan serangan pada 7 Oktober lalu di Semenanjung Gaza sehingga Jumaat lalu, menjadikan jumlah syuhada Gaza seramai 17 ribu orang. - Bernama.