'Anak pinjaman ALLAH, apa-apa jadi kena reda' - Ibu mangsa

Nur Zara Mikayla yang hilang semasa berjalan-jalan bersama keluarganya di bazar karat ditemui dan dibawa ke Balai Polis Sentral, Johor Bahru pada awal pagi Isnin. Nota (kanan) yang ditinggalkan pasangan tersebut.
Nur Zara Mikayla yang hilang semasa berjalan-jalan bersama keluarganya di bazar karat ditemui dan dibawa ke Balai Polis Sentral, Johor Bahru pada awal pagi Isnin. Nota (kanan) yang ditinggalkan pasangan tersebut.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila menyedari anak perempuannya yang berusia enam tahun hilang dalam lautan manusia di bazar karat dekat sini pada malam Ahad.

Menurut ibu kanak-kanak terbabit yang dikenali sebagai Wani, kehilangan anak keduanya, Nur Zara Mikayla Muhammad Hilmi disedari kira-kira jam 12.17 tengah malam selepas dimaklumkan suaminya.

Semasa kejadian, Wani tertidur bersama anak bongsunya di dalam kereta sementara Nur Zara Mikayla bersama bapanya berjalan di bazar karat terbabit.

Wani berkata, dia kemudian mencari anak keduanya itu bersama suami sambil membawa dua anaknya dibantu rakan suaminya sehingga jam 1.30 pagi di merata tempat di bazar karat termasuk di kawasan longkang yang gelap.

"Cari bahagian belakang gelap-gelap dekat longkang besar ada orang mabuk. Takutnya jika angah Mikayla sampai sana. Tak jumpa! Rasa bersalah sebab tertidur sekali dalam kereta. Macam-macam fikir, terus terdetik, anak tu pinjaman ALLAH SWT. Apa-apa jadi kena reda," tulisnya.

Wani (kanan) dan Muhammad Hilmi (kiri) bersyukur apabila menemukan Nur Zara Mikayladengan selamat selepas hilang hampir dua jam di bazar karat di bandar raya Johor Bahru pada malam Ahad.
Wani (kanan) dan Muhammad Hilmi (kiri) bersyukur apabila menemukan Nur Zara Mikayladengan selamat selepas hilang hampir dua jam di bazar karat di bandar raya Johor Bahru pada malam Ahad.

Wanita berkenaan menulis demikian dalam satu hantaran menerusi Facebook miliknya pada tengah malam Ahad dan pautan cerita tersebut turut dikongsikan dalam Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Wani berkata, dia terus mencari anaknya dengan bertanyakan kepada beberapa peniaga di bazar karat terbabit sebelum seorang daripadanya memaklumkan Nur Zara Mikayla sudah dijumpai dan dibawa ke Balai Polis Sentral.

Artikel Berkaitan:

Katanya, apabila sampai di balai tersebut pada jam 2 pagi anaknya itu sudah tertidur dan amat bersyukur kerana Nur Zara Mikayla selamat.

Dia menyifatkan kejadian itu sebagai satu pengajaran selain mengucapkan terima kasih serta menghantar makanan kepada pihak polis sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suasana penuh emosi dapat dirasakan di Balai Polis Sentral apabila pasangan tersebut bertemu semula dengan anaknya yang hilang itu.

"Kami saksikan satu kisah dari bazar karat yang menyentuh hati. Adik Nur Zara Mikayla yang hilang kini selamat berada di pangkuan keluarganya setelah ditemui Inspektor Amir Haikal Kasim bersama anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Johor Bahru Selatan yang menjalankan Ops Motosikal di sekitar Jalan Ibrahim-Wong Ah Fook," katanya.

Raub berkata, Nur Zara Mikayla ketika ditemui Amir berada dalam keadaan takut dan menangis selepas terpisah dengan ibu bapa semasa melintas jalan di bazar karat sebelum dibawa ke balai polis terbabit.

"Suasana penuh emosi dan kelegaan ketika kehadiran ibu bapa kanak-kanak itu di Balai Polis Sentral serta penuh dengan rasa syukur dan terima kasih kepada polis. Mereka menyampaikan terima kasih mendalam kepada setiap pegawai dan anggota terlibat menyelamatkan anak mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam sentiasa peka dengan keberadaan anak-anak ketika mengunjungi kawasan yang sibuk.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!