Kebersihan persekitaran jalan masuk UIAM Gombak perlu perhatian

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SAYA ingin berkongsi pemerhatian saya berkenaan keadaan persekitaran jalan masuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di daerah Gombak.

Sebagai penduduk asal yang tinggal berdekatan lebih 50 tahun di sini, saya merasakan wajar untuk menyuarakan keprihatinan saya mengenai keadaan kawasan tersebut.

Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UIAM memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan setempat.

Selain daripada menjadi pusat kecemerlangan akademik dan intelektual, universiti ini juga memainkan peranan utama dalam memperkukuhkan ekosistem pendidikan dan di kawasan sekitarnya.

Kawasan sekitar UIAM juga dikelilingi oleh pelbagai pusat akademik seperti Sekolah Setia Budi, Sekolah Rendah dan Menengah Al Amin, Kolej Vokasional Gombak, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (SBPI), UNIKL BMI, Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak Utara, SK dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, dan juga kawasan tradisional yang terkenal, Kampung Sungai Chinchin.

Namun, berdasarkan pemerhatian saya mendapati bahawa keadaan persekitaran jalan masuk ke UIAM tidak mencerminkan tahap kebersihan dan kekemasan yang sepatutnya ada pada sebuah universiti antarabangsa.

Kita semua sedia maklum, UIAM merupakan institusi yang terletak di daerah Gombak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 penubuhan universiti terulung ini tentu saja wajar mempunyai persekitaran yang kemas, bersih serta menarik.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini saya telah berkesempatan untuk mengunjungi dua universiti awam lain di Shah Alam dan Johor Bahru ketika mendaftarkan anak-anak di IPTA tersebut.

Pemerhatian saya di kedua-dua universiti tersebut menunjukkan kebersihan dan kekemasan persekitaran jalan masuk yang jauh berbeza dengan keadaan di sekitar UIAM.

Terdapat perbezaan ketara dalam penyelenggaraan, pemotongan rumput, keadaan lampu jalan raya, jalan berlubang dan masalah lain yang memerlukan penyelesaian segera di kawasan UIAM.

Landskap di jalan-jalan masuk UIAM juga memerlukan penambahbaikan.

Antara beberapa isu yang perlu mendapat perhatian segera:

1. Longgokan sampah: Terdapat longgokan sampah di bahu jalan dan kawasan pembuangan sampah haram.

2. Penyelenggaraan dan pemotongan rumput: Keadaan rumput di sepanjang bahu dan pembahagi jalan yang tidak terurus.

3. Lampu jalan: Terdapat lampu jalan yang tidak disenggara dengan sempurna.

4. Jalan berlubang dan tidak berturap sempurna: Keadaan jalan yang berlubang perlu diperbaiki untuk memastikan keselamatan pengguna jalan.

5. Banjir kilat: Perlu mengambil langkah untuk mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan tersebut.

6. Kedai serta kilang haram di sepanjang bahu jalan di Jalan Gombak, Jalan Sungai Pusu, Jalan Sg Chinchin.

Saya percaya bahawa pihak berkuasa terbabit iaitu Majlis Perbandaran Selayang, Jabatan Kerja Raya daerah dan kontraktor jalan, perlu bekerjasama untuk menangani isu-isu ini dengan serius.

Saya juga berharap agar Ahli Parlimen Gombak yang diwakili oleh Menteri Besar Selangor dan ADUN Gombak Setia dapat mengambil perhatian terhadap keadaan persekitaran Gombak terutamanya berbanding dengan universiti awam lain.

Sebagai penutup, saya ingin menyeru kepada Perdana Menteri Malaysia ke-10 untuk memberikan perhatian khusus kepada keadaan persekitaran di sekitar UIAM, memandangkan beliau turut sentimental terhadap penubuhan universiti ini.

Saya percaya langkah-langkah yang diambil dapat meningkatkan keadaan persekitaran dan memberi impak positif kepada komuniti setempat.

Saya turut menyarankan pihak tuan membuat sedikit tinjauan dan laporan berkenaan perkara ini agar mendapat perhatian pihak berkenaan.

Sekian, terima kasih.

SURAT PEMBACA,

Warga Gombak