Wanita lumpuh lepas berpantang anak kedua

Nur Adira menemani ibunya bagi membantu menguruskan aktiviti seharian.
Nur Adira menemani ibunya bagi membantu menguruskan aktiviti seharian.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang ibu dari Kampung Batu Lapan Gurun terpaksa menanggung derita apabila hanya terlantar akibat lumpuh selepas tamat tempoh berpantang anak keduanya, 15 tahun lalu.

Akhilah Ahmad, 47, berkata, doktor mengesahkannya menghidap penyakit artritis reumatoid yang menjejaskan hampir keseluruhan sendi di badan.

Menurutnya, aktiviti seharian kini dibantu anak sulung daripada dua beradik, Nur Adira, 20, menyebabkannya tidak dapat keluar bekerja kerana terpaksa menemani ibunya sepanjang masa.

"Saya disahkan menghidap penyakit ini selepas 50 hari melahirkan anak kedua.

"Sejak itu saya terlantar kerana telah menjejaskan tulang belakang dan hampir semua sendi di badan," katanya.

Jelasnya, dia memerlukan lampin pakai buang serta susu khas yang berharga RM150 setin yang hanya dapat bertahan beberapa hari, dengan keperluan susu sekurang-kurangnya dua tin seminggu.

Bagai jatuh ditimpa tangga, Akhilah berkata, keadaan bertambah sukar selepas suaminya, Mohd Zaidi Desa, 46, yang hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah sekitar RM35 hingga RM50 sehari, disahkan menghidap sakit jantung serta tidak lagi berupaya melakukan kerja lasak beberapa bulan lalu.

Keadaan tersebut menambahkan kesempitan hidup mereka sekeluarga sehingga ada kalanya terpaksa mengikat perut atau menggantikan menu nasi kepada bijirin.

Artikel Berkaitan:

Nur Adira menunjukkan keadaan lantai rumah mereka yang sudah reput.
Nur Adira menunjukkan keadaan lantai rumah mereka yang sudah reput.

"Pendapatan suami tidak mencukupi, kami terpaksa catu makanan dengan hanya makan nasi sehari sekali dan makan nestum bagi membolehkan perut kenyang lebih lama," jelasnya.

Lebih menyedihkan, rumah yang mereka diami juga telah usang serta dimakan anai-anai selain atapnya bocor.

Katanya, terdapat bahagian rumah yang baharu dibina dua tahun lalu dengan bantuan kenalan di kampung, namun tidak dapat disiapkan kerana faktor kewangan.

"Saya memang terpaksa mengharapkan ihsan saudara mara dan rakan-rakan.

"Mereka sudah banyak membantu, namun kadang-kadang saya rasa malu untuk meminta sehingga ada waktunya kami terputus bekalan makanan," katanya yang turut mengalami luka di bahagian belakang akibat hanya berbaring terlalu lama.

Mengulas lanjut, Akhilah berkata, dia bagaimanapun bersyukur menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM300 sebulan.

"Namun kos sara hidup yang meningkat selain Muhammad Haikal, 15, yang masih bersekolah memerlukan perbelanjaan tinggi," katanya.

Bagi yang ingin meringankan beban mereka, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0212-5410-0002-7153 atas nama Akhilah Ahmad.