[VIDEO] Gajah liar ceroboh kebun di Mengkebang, pijak pagar elektrik

A
A
A

KUALA KRAI - Pekebun di Kampung Gertak Kangkong, Mengkebang di sini bukan sahaja diselubungi kebimbangan, malah berdepan kerugian besar apabila seekor gajah seberat dua tan menceroboh kebun mereka pada Jumaat.

Penduduk menunjukkan bekas tapak kaki gajah yang ditemui di kebun kelapa sawit di Kampung Gertak Kangkong, Mengkebang, Kuala Krai pada Isnin.
Penduduk menunjukkan bekas tapak kaki gajah yang ditemui di kebun kelapa sawit di Kampung Gertak Kangkong, Mengkebang, Kuala Krai pada Isnin.

Kehadiran 'awang besar' itu telah menyebabkan banyak kerosakan pada tanaman seperti kelapa sawit, kelapa, pisang dan lain-lain musnah akibat dipijak dan dicabut haiwan terbabit.

Wakil pekebun, Mazlan Setapa, 56, berkata, lebih 60 pokok kelapa sawit miliknya musnah dipijak pada Sabtu.

Pekebun membersihkan kesan kemusnahan angkara gajah di Kampung Gertak Kangkong, Mengkebang, Kuala Krai pada Isnin.
Pekebun membersihkan kesan kemusnahan angkara gajah di Kampung Gertak Kangkong, Mengkebang, Kuala Krai pada Isnin.

"Bukan itu sahaja, pagar elektrik yang dibina juga turut musnah dipijak oleh haiwan liar tersebut.

"Ini merupakan kemunculan pertama gajah di kampung kami," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Penduduk, Samuin Awang, 56, memberitahu jarak kebun pisang dengan rumah penduduk hanya sekitar 200 meter sahaja.

Ujarnya, selain kerosakan tanaman, penduduk juga bimbang jika gajah tersebut menghampiri kawasan rumah mereka.

Pekebun di Kampung Gertak Kangkong, Mengkebang di Kuala Krai berdepan kerugian besar apabila seekor gajah seberat dua tan menceroboh kebun mereka pada Jumaat.
Pekebun di Kampung Gertak Kangkong, Mengkebang di Kuala Krai berdepan kerugian besar apabila seekor gajah seberat dua tan menceroboh kebun mereka pada Jumaat.

Buat masa kini katanya, penduduk yang menghuni lebih 120 buah rumah di kawasan tersebut turut berada dalam keadaan berhati-hati, lebih-lebih lagi penoreh getah.

"Mereka memilih keluar beramai-ramai untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Bagi Mohd Nor Hafiz Mohd Nordin, 39, kemunculan gajah di kampung mereka buat kali pertama ini sangat mengejutkan.

Menurutnya, haiwan liar itu muncul selama tiga hari dan dikatakan telah ke kampung lain pada Isnin.

Beliau turut memberitahu, kejadian tersebut telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan perkara tersebut.