EU serah geran RM9.5 juta kaji potensi sektor maritim Perak

Saarani (tengah) menyaksikan memorandum persefahaman di antara PoABI dan PKNPk sempena Majlis Pengumuman Geran EU oleh PoABI dan PKNPk pada Isnin.
Saarani (tengah) menyaksikan memorandum persefahaman di antara PoABI dan PKNPk sempena Majlis Pengumuman Geran EU oleh PoABI dan PKNPk pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kesatuan Eropah (EU) meluluskan geran berjumlah RM9.5 juta kepada Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) bagi meneroka potensi Perak sebagai pusat maritim terkemuka.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, geran tersebut akan digunakan untuk menjalankan kajian terhadap daya tarikan Malaysia dalam sektor pelabuhan dan maritim.

Menurutnya, pada masa sama ia akan memaparkan data-data mengenai kesesuaian Lumut sebagai sebuah pusat logistik dan pengangkutan antarabangsa.

"Pemberian geran daripada EU ini merupakan satu pencapaian penting yang membuktikan kepentingan negara ini sebagai sebuah destinasi pelaburan utama selain membantu Lumut mencapai potensinya sebagai penggerak utama yang memacu pembangunan terangkum dan mampan bagi negeri Perak.

"Kekayaan sumber semula jadi Perak serta ketersediaan infrastruktur ditambah dengan pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), selain hubungan yang terjalin dengan PoABI telah menjadikan negeri ini tarikan kepada EU untuk membuat kajian secara komprehensif," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Pengumuman Geran EU oleh PoABI dan PKNPk di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Duta Besar EU di Malaysia, Michalis Rokas; Duta Besar Belgium ke Malaysia, Peter Van Acker; Pengarah Urusan PoABI, Kristof Waterschoot dan Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Saarani berkata, kajian komprehensif tersebut merangkumi sembilan penilaian melibatkan empat penilaian awal yang memberi tumpuan kepada Malaysia secara umum bagi menarik potensi EU atau pelabur asing lain.

Jelasnya, lima lagi baki penilaian akan memberi tumpuan dalam menyediakan hala tuju Lumut sebagai pintu masuk ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kajian tersebut telah bermula sejak September lalu dan mengambil masa 18 bulan untuk disempurnakan.

Sementara itu, Saarani berkata, sebuah syarikat tujuan khas iaitu LuMIC Development Sdn Bhd (LuMIC DevCo) ditubuhkan menerusi Perjanjian Pemegang Saham Usaha Sama (JVSA) bagi bersama-sama membangunkan dan menguruskan LuMIC secara bersepadu.

"JVSA ini merupakan fasa baharu kerjasama PKNPk dan PoABI, anak syarikat Port of Antwerp-Bruges dalam menjayakan inisiatif LUMIC dengan menjadikan Perak sebagai pusat maritim dan logistik terkemuka sambil memanfaatkan peluang pertumbuhan sosioekonomi.

"Kerjasama strategik antara PKNPk dan PoABI untuk menubuhkan LuMIC dan menjadikannya pusat serantau baharu di Selat Melaka adalah sebahagian daripada usaha untuk mencapai wawasan Perak Sejahtera 2030, sejajar dengan komitmen untuk menjadi pusat maritim terulung selain mewujudkan persekitaran yang mesra pelabur," katanya.

Pada majlis itu, seramai 10 pelajar daripada 100 kumpulan pertama pelajar menerima sijil untuk memulakan Program Latihan Amali LuMIC.

Dalam perkembangan berkaitan, Waterschoot mengganggap kerjasama tersebut sangat penting bagi PoABI di rantau ini.

Menurutnya, berdasarkan rekod pencapaian dan jejak global syarikat, PoABI yakin mampu memanfaatkan peluang dalam sektor maritim, perdagangan serta pelaburan sejajar dengan strategi pembangunan negeri.