Keghairahan rebut jawatan

Laporan Sinar Premium pada Ahad.
Laporan Sinar Premium pada Ahad.
A
A
A

MENJELANG pemilihan kepimpinan utama Parti Amanah Negara (Amanah) terutama jawatan presiden parti, hari demi hari bahang kempen semakin panas.

Keghairahan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof untuk merebut jawatan utama itu kian terserlah. Lontaran pendapatnya kian berani dan tidak segan-silu lagi meluahkan idea yang difikirkannya adalah betul.

Untuk mewajarkan sesiapa pun dipilih memegang jawatan utama, Mujahid menyifatkan jawatan sebagai menteri yang disandang oleh mana-mana pemimpin parti itu tidak menjadi nilai tambah atau kriteria yang diberi keutamaan bagi pemilihan kepimpinan utama.

Benar pemilihan jawatan dalam parti Amanah ditentukan oleh perwakilan parti, sementara pemilihan menjadi ahli Parlimen ditentukan oleh para pengundi iaitu rakyat di sesebuah kawasan pilihan raya.

Kedudukan sebagai wakil rakyat ini tidak dimiliki oleh Mujahid selepas tewas pada PRU15 tahun lalu.

Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Parit Buntar, Perak selama tiga penggal dan pernah dilantik menganggotai Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 bulan sewaktu Pakatan Harapan berkuasa.

Pengalaman dapat memegang jawatan dan kuasa sebagai menteri Kabinet biarpun tidak lama tetapi amat berharga dan pasti dirindukan oleh Mujahid.

Beliau teringin sangat menjadi menteri semula, sebab itu nekad mahu rebut jawatan utama Amanah.

Artikel Berkaitan:

Oleh sebab Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) mungkin mengambil masa lama lagi, maka peluang terdekat memegang kuasa ialah melalui pemilihan jawatan Presiden Amanah yang tinggal beberapa hari lagi.

Pada pemilihan sesi 2019-2022 lalu, Datuk Seri Mohamad Sabu (Mat Sabu) diangkat sebagai Presiden parti meskipun beliau hanya berada pada kedudukan ketujuh tertinggi mendapat undian perwakilan, berbanding Mujahid di tempat keempat.

Pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah kali ini juga mencuri perhatian bagi menentukan siapakah bakal mengisi jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menggantikan Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada Julai lalu.

Oleh sebab itu segala gerak jentera dan kempen yang mencetuskan revolusi mental untuk mengubah kepimpinan utama harus dipergiatkan.

Dengan mempergunakan konsep Rahmah dan parti perlukan perubahan kepimpinan, tercetus idea ‘menaikkan’ pangkat Abang Mat Sabu dengan lantikan sebagai Penasihat Amanah.

Amanah adalah sebuah parti politik muda yang berusia lapan tahun.

Cabaran utamanya ialah mengukur pengaruh sokongan rakyat kepada Amanah melalui pilihan raya.

Dengan sokongan pengundi Melayu lebih condong ke sebelah gabungan Perikatan Nasional, apakah Presiden yang baharu mampu membawa perubahan yang besar dari segi sokongan orang Melayu kepada Amanah, apatah lagi Pakatan Harapan?

Selama 22 bulan Mujahid menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio agama, kecelaruan pengurusan Lembaga Tabung Haji masih segar dalam ingatan rakyat dan pencarum agensi yang menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam itu.

Begitu juga para perwakilan akan menilai prestasi Mat Sabu sepanjang satu tahun sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

Setakat ini Mat Sabu terus berusaha memartabatkan bidang pertanian ke tahap profesional sehingga mampu menjana pendapatan yang lumayan kepada rakyat yang mengusahakannya.

Kenapakah Mat Sabu tidak diberi peluang kekalkan jawatannya untuk sepenggal lagi? Apakah pengalaman luas dan kepimpinannya dalam perjuangan parti perlu dinoktahkan? Begitukah sekali sikap Amanah kepada pemimpin mereka?

Selama ini, pelbagai isu agama, penyalahgunaan kuasa, rasuah, demokrasi dan sebagainya sampai ke pengetahuan dan telinga rakyat adalah menerusi ceramah Mat Sabu.

Kelebihan bagi Mat Sabu dalam ceramah dapat mengolah isu dengan baik yang menjadi jelas kepada pendengar.

Apakah Amanah mahu melupakan jasa dan kehebatan Mat Sabu menggerakkan perjuangan parti menerusi jalan raya?

Beliau menjadikan jalan raya sebagai platform untuk menggerakkan rakyat bagi menuntut ketidakadilan dan menentang kezaliman dan kerakusan.

Beliaulah yang memimpin tunjuk perasaan yang disertai puluhan ribu rakyat dari pelbagai kaum.

Perjuangan Mat Sabu menggabungkan kedua-duanya, iaitu pentas ceramah dan jalan raya akhirnya terhasillah rundingan dan persepakatan politik.

Kerjasama politik Mat Sabu dengan kaum bukan Melayu menjadi pencetus semangat dan harapan menumbangkan musuh politik cukup hebat dan berkesan.

Beliau menjadi jambatan penghubung antara Amanah dengan parti dalam Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan serta NGO.

Mat Sabu mempunyai kelebihan terutamanya melebarkan pengaruh Amanah kepada bukan Melayu khasnya masyarakat Cina, India dan lain-lain.

Beliau menjadi ‘perunding’ untuk menarik bekas pemimpin politik parti musuh dan bekas penjawat awam untuk menyertai Amanah.

Mat Sabu adalah pemimpin tahan diuji. Sepanjang perjuangan politiknya dahulu, pernah ditahankan di bawah akta ISA dua kali, ditangkap polis berkali-kali serta dihadap ke mahkamah serta dibicarakan ribuan kali.

Sumbangan Mat Sabu bukan sedikit, paling mahal kekentalan sifat juangnya yang tidak mengenal kalah.

Beliau sentiasa bersemangat dan seronok dengan perjuangannya. Kecewa tidak pernah dipamer, putus asa tidak pernah diukir.

Cara beliau berpakaian sangat ringkas, tidak berjubah, berserban, dan tidak menyimpan janggut panjang. Ceramahnya berjaya menarik perhatian ramai. Penuh gelak ketawa dan mesej yang jelas.

Mat Sabu adalah watak penting bagi Amanah. Amanah akan rugi besar kalau tidak mengekalkan jawatan beliau yang ada sekarang.

Fikirkan cabaran dan risiko kepada Amanah menjelang PRU16.

Silap pilih pemimpin utama, takut-takut buruk padahnya pada PRU16.

Perubahan baru memang pasti akan berlaku, tetapi tidak selalu membawa erti seperti yang diharapkan.

Peralihan tampuk kepimpinan dalam Amanah harus berlaku dengan tersusun dan tertib.

Jika teringin sangat mahu memegang tampuk kepimpinan parti, pilihlah beliau menjadi orang nombor 2 dan kekalkan Mat Sabu sebagai nombor 1 Amanah.

Apabila tiba masanya, proses peralihan kuasa akan berjalan dengan lancar.

SURAT PEMBACA,

Aman Nabil, Kuala Lumpur