Konsert Ed Sheeran di Bukit Jalil, bersediakah Stadium Nasional 'dilanyak' semula?

Ed Sheeran. Gambar kanan: Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka menjadi lokasi penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari 2024.
Ed Sheeran. Gambar kanan: Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka menjadi lokasi penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari 2024.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mahupun Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mungkin harus mempertimbangkan semula penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil pada Februari dan Mac tahun depan.

Ia susulan mula timbulnya perdebatan dalam kalangan warganet apabila stadium itu dijangka menjadi lokasi penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari 2024.

Apa yang membimbangkan peminat bola sepak tempatan adalah stadium sama bakal menjadi venue untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman pada 26 Mac 2024.

Tempoh masa kira-kira sebulan dalam kedua-dua penganjuran acara itu sudah tentu akan sekali lagi menguji keupayaan PSM bagi memastikan padang benar-benar berada pada tahap terbaik.

Malah, FAM juga pastinya tidak mahu berdepan dengan 'mimpi ngeri' seperti mana insiden padang 'terkoyak' ketika berlangsungnya saingan Pestabola Merdeka 2023 di stadium itu pada Oktober lalu.

Dengan status perlawanan antarabangsa, FAM seharusnya memastikan aksi antara Malaysia dan Oman itu menepati piawaian Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mahupun Persekutuan Bola Sepak Antaranbangsa (FIFA).

FAM juga harus memikirkan gelanggang yang lebih sesuai untuk Harimau Malaya selain kapasiti kehadiran penyokong memandangkan perlawanan itu nanti dijangka berlangsung pada bulan Ramadan.

Jika keadaan padang Stadium Nasional tidak 'mengizinkan' selepas penganjuran konsert Ed Sheeran, FAM harus memiliki alternatif venue lain seperti Stadium Sultan Ibrahim atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Artikel Berkaitan:

Sejak beberapa hari lalu, PSM dihentam susulan kegagalan menyediakan padang terbaik untuk aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) pada Jumaat lalu.

Keadaan rumput padang Stadium Nasional rosak terutamanya di bahagian tengah selepas penganjuran konsert kumpulan Coldplay pada 22 November lalu.