JDT tak gembira keadaan padang Stadium Bukit Jalil

Jordi Amat. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Jordi Amat. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

KAPTEN Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat mengakui tidak gembira dengan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia pada Jumaat.

Menurut tonggak pertahanan itu, dia agak risau dengan keadaan padang yang masih rosak dan bakal menjejaskan permainan pasukan Harimau Selatan.

"Kita jangkakan perlawanan yang sukar tetapi apa yang lebih merisaukan adalah keadaan padang dan saya tidak begitu gembira (melihatnya).

"Jika keadaan hari perlawanan juga masih sama, mungkin kita akan atur strategi lain untuk mengelak daripada bermain di atas padang yang tidak rata," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.

Rumput Stadium Nasional Bukit Jalil terus menjadi perhatian peminat bola sepak selepas dilaporkan masih rosak angkara konsert kumpulan Coldplay baru-baru ini dan berkemungkinan tidak sempat dibaiki sepenuhnya menjelang aksi final.

Dalam pada itu, Amat tidak melihat tekanan kepada pasukan JDT biarpun diletakkan sebagai pilihan untuk muncul juara.

Dia berkata, tiada mana-mana pasukan yang dilabel sebagai pilihan dalam perlawanan akhir kerana Terengganu FC juga mempunyai kelebihan.

"Secara jujurnya saya suka bagaimana Terengganu bermain kerana mereka sangat bagus.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu JDT perlu bermain lebih baik daripada pihak lawan. Kami perlu mengekalkan mentaliti kemenangan untuk perlawanan akhir ini," katanya.