Aktiviti Rakan Siswa Yadim tiada agenda politik

Yadim dalam kenyataan berkata, RSY untuk melahirkan golongan muda berketrampilan dan berakhlak mulia tanpa sebarang agenda politik. - Foto Yadim
Yadim dalam kenyataan berkata, RSY untuk melahirkan golongan muda berketrampilan dan berakhlak mulia tanpa sebarang agenda politik. - Foto Yadim
A
A
A

PUTRAJAYA - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menafikan dakwaan bahawa Rakan Siswa Yadim (RSY) diperguna untuk memperluaskan pengaruh politik pihak tertentu di sekolah dan universiti.

Yadim dalam satu kenyataan hari ini memjelaskan, misi RSY adalah melahirkan golongan muda yang berketrampilan dan berakhlak mulia tanpa sebarang agenda politik.

Katanya, RSY yang dahulunya dikenali sebagai Sahabat Yadim bergiat aktif sejak tahun 2013 dan dijenamakan dengan penambahbaikan hala tuju dan tata kelola.

"Penafian bahawa RSY tidak pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini amat membingungkan kerana pada tahun 2014, RSY menerima peruntukan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) diluluskan perdana menteri.

"Yang Dipertua Yadim pada masa itu boleh mengesahkan hakikat ini. Justeru wajarkah boleh dianggap Sahabat Yadim pada ketika itu adalah alat menyebar pengaruh pihak tertentu?," soal Yadim dalam kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Media dan Teknologi Dakwah Yadim.

Yadim turut menegaskan bahawa agenda politik hanya akan membataskan inklusiviti misi RSY dan di bawah pimpinan Nik Omar Nik Aziz, agensi itu akan terus fokus kepada program berteraskan pendidikan.

"Selaras dengan penjenamaan kali ini, penekanan lebih akan diberikan untuk merapatkan hubungan sesama kaum," katanya.

Dalam kenyataan sama, Yadim turut menyatakan pendirian berkaitan kenyataan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) pada 29 Disember lalu mengenai RSY.

Artikel Berkaitan:

Yadim berkata, pandangan dikeluarkan pihak berkenaan adalah atas tidak jelas terhadap hasrat sebenar Yadim dalam pelaksanaan inisiatif RSY.

"Yadim membuka seluas-luasnya pintu dialog kepada pihak MCCBCHST untuk bertemu dan mendapatkan penjelasan yang sebenarnya," katanya.

MCCBCHST menggesa Kementerian Pendidikan dan Yadim menarik balik surat kebenaran untuk menjalankan aktiviti dakwah di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).