Anggota polis retak pergelangan tangan ketika berkas pengedar dadah

Seorang anggota polis sanggup menahan kesakitan akibat keretakan pergelangan tangan kanan semata-mata mahu memberkas dua pengedar dadah dalam kejadian di Kampung Pangkal Pisang, Melor, Kota Bharu pada Sabtu.
Seorang anggota polis sanggup menahan kesakitan akibat keretakan pergelangan tangan kanan semata-mata mahu memberkas dua pengedar dadah dalam kejadian di Kampung Pangkal Pisang, Melor, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang anggota polis sanggup menahan kesakitan akibat keretakan pergelangan tangan kanan semata-mata mahu memberkas dua suspek yang dipercayai pengedar dadah dalam kejadian di Kampung Pangkal Pisang, Melor di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian awal pagi itu, anggota terbabit telah ditendang oleh suspek semasa pergelutan untuk menangkap mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pada jam 3.45 pagi semasa anggota dari Balai Polis Kubang Kerian melakukan rondaan cegah jenayah mereka telah menahan dua lelaki masing-masing berusia 40-an dan 50-an di dalam sebuah kereta jenis Proton Perdana di kawasan Bandar Satelit, Pasir Tumboh dalam keadaan mencurigakan.

"Bagaimanapun, kedua-dua suspek tersebut telah cuba melarikan diri dengan memecut kereta yang dinaiki.

"Hasil tindakan pantas anggota polis berkenaan berjaya menahan kereta suspek tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, semasa proses tangkapan dilakukan kedua-dua suspek telah bertindak agresif terhadap anggota polis.

Ujarnya, berlaku pergelutan sehingga menyebabkan seorang anggota polis telah ditendang oleh suspek sehingga terjatuh dan mengakibatkan keretakan pergelangan tangan kanan.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan lanjut terhadap kereta yang dinaiki suspek telah menjumpai ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.
Pemeriksaan lanjut terhadap kereta yang dinaiki suspek telah menjumpai ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.

Mohd Rosdi memberitahu, anggota polis yang cedera bersama dengan rakan setugas kemudian berjaya memberkas suspek berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut terhadap kereta yang dinaiki oleh kedua-dua suspek terbabit telah menjumpai ketulan-ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM700.

"Saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek didapati positif jenis dadah tetrahydrocannabinol.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai 23 rekod kesalahan lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah serta turut dikehendaki oleh pihak polis kerana terlibat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan Kota Bharu," katanya.

Ujar beliau, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 Disember untuk membantu siasatan.

Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti penglibatan suspek dengan rakan sejenayah yang lain.

Mohd Rosdi memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.