Jangan pandang rendah keupayaan The Red Warriors - Yunus

Yunus - Foto PDRM FC
Yunus - Foto PDRM FC
A
A
A

SKUAD Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) yang masih segar dengan status juara Piala Cabaran buat kali pertama dituntut mengekalkan momentum positif apabila melayan kunjungan kelab tercorot Kelantan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad

Malah, pengendali The Cops, Datuk Ahmad Yunus Alif mengingatkan kelab yang menduduki tempat kelapan liga itu tidak memandang rendah keupayaan The Red Warriors (TRW) yang bergelut dengan masalah prestasi musim ini.

Tegas Yunus yang juga bekas pemain tengah Harimau Malaya era 78 hingga 87 itu percaya anak buah Alfredo Angel Vera mampu menghadirkan kejutan sekiranya The Cops mengambil sikap sambil lewa dalam perlawanan tersebut.

"Saya ingatkan pemain untuk lebih berdisiplin dalam perlawanan ini biarpun berdepan pasukan Kelantan FC.

"Tiga mata penting dalam perlawanan ini dalam misi pasukan memperbaiki kedudukan liga pada musim ini yang berbaki dua perlawanan.

"Selain itu, saya amat berharap jentera serangan akan memanfaatkan setiap peluang yang dijelmakan dalam perlawanan ini dalam bentuk jaringan," katanya.

Sebagai rekod, The Cops pada perlawanan pusingan pertama sebelum ini tidak berdepan masalah menewaskan Kelantan FC, 4-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 23 Mei lalu.

The Cops pada ketika ini menduduki tempat kelapan dengan 34 mata selepas mengharungi 24 perlawanan liga.

Artikel Berkaitan:

Anak buah Yunus sebelum ini meraih kejuaraan Piala Cabaran selepas menewaskan Kuching City FC 4-1 secara agregat pada aksi final kedua di Stadium Negeri, Kuching pada 3 Disember lalu.

The Cops selepas berdepan Kelantan akan melabuh tirai liga melayan kunjungan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad.

Dalam pada itu, Yunus memberi bayangan akan memberikan peluang kepada para pemain yang kurang mendapat minit permainan dalam dua baki perlawanan terakhir liga.

"Saya berharap para pemain yang diturunkan dalam baki dua perlawanan terakhir berdepan Kelantan dan Selangor akan memanfaatkan peluang diberikan dengan memberikan aksi terbaik masing-masing.

"Saya percaya prestasi PDRM berada pada tahap terbaik selepas menjulang kejuaraan Piala Cabaran, dan secara tidak langsung sebagai motivasi kepada pemain-pemain untuk meraih keputusan positif," katanya.

LIGA SUPER

AHAD

PDRM FC lwn Kelantan FC, 9 malam

Kuching City lwn Kuala Lumpur City, 8.15 malam