Setahun kerajaan Madani: 351 projek sakit, terbengkalai dipulih

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 351 projek sakit dan terbengkalai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM32.87 bilion berjaya diselesaikan dan dipulihkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sepanjang setahun pentadbiran kerajaan MADANI.

Berdasarkan Kad Laporan KPKT 2023, projek melibatkan 43,738 unit perumahan swasta itu berjaya dipulihkan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) setakat 31 Oktober lepas.

Menurut kad laporan itu, RM1 bilion diperuntukkan menerusi Belanjawan 2024 bagi menggalakkan pemaju berwibawa memulihkan projek-projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai yang telah dikenal pasti.

Selain itu, sebanyak 110 unit lif di perumahan awam berstrata kos rendah di sekitar Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Selangor, Perak dan Pulau Pinang telah dibaik pulih dan sebahagiannya diganti baharu yang akan memberi manfaat kepada 22,648 penghuni.

KPKT memperuntukkan RM50 juta bagi inisiatif penyelenggaraan dan penggantian lif-lif usang di Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam dengan semua projek dijangka siap pada bulan ini dan tahun depan secara berperingkat.

KPKT melalui Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) juga berjaya menyiapkan 35,454 unit kediaman di seluruh negara hingga 31 Okt lepas sementara 261,901 unit rumah mampu milik siap dibina dan dalam fasa pembinaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk tempoh hingga 30 Jun lepas.

Kad laporan itu menyebut KPKT melalui Bahagian Kesejahteraan Komuniti (BSK) juga membaik puliih 2,000 unit rumah daif di bandar, manakala 16 unit rumah baharu dibina pada tahun ini menerusi Bahagian Kesejahteraan Komuniti (BSK).

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam satu hantaran video menerusi Facebooknya berkata KPKT menyediakan 3,209 unit MyKiosk melibatkan peruntukan RM50 juta bagi meningkatkan sosioekonomi penjaja dan peniaga kecil.

Beliau berkata, KPKT turut memperkenalkan inisiatif tandas BMW (Bersih, Menawan dan Wangi) dengan RM9.46 juta diluluskan untuk membaik pulih dan menaik taraf 153 tandas awam di seluruh negara pada tahun ini.

Kor Ming berkata, KPKT menyalurkan peruntukan RM50 juta bagi 433 projek menyelenggara dan membaik pulih rumah-rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara.

Dalam aspek memperkasakan peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), beliau berkata, KPKT telah melancarkan perkhidmatan khas helikopter ambulans pertama negara iaitu EMARS (Emergency Air Ambulance Rescue Services) pada tahun ini.

Selain itu, sebanyak empat balai bomba baharu di Johor, Kuala Lumpur, Kedah dan Sarawak telah dibina, manakala dua balai bomba di Negeri Sembilan dan Sabah dinaik taraf bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat. - Bernama