Tukar al-Quran lama pada program Setahun Bersama Kerajaan Madani

Orang ramai mula hadir ke pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi merasai sendiri aktiviti yang terdapat pada hari terakhir Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada Ahad.- Foto Bernama
Orang ramai mula hadir ke pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi merasai sendiri aktiviti yang terdapat pada hari terakhir Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada Ahad.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 500 naskhah al-Quran yang tidak diperakukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ditukar setakat semalam sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, orang ramai digalakkan datang ke reruai kementerian itu untuk menyemak dan menukar al-Quran lama yang tidak mendapat perakuan secara percuma.

Beliau berkata, adalah penting bagi umat Islam di Malaysia memastikan setiap naskhah al-Quran yang dimiliki telah disemak dan ditentusahkan oleh KDN supaya setiap ayat, baris dan huruf di dalamnya tepat untuk dibaca mengikut Rasm Uthmani.

"Jika al-Quran itu tepat, ia akan mendapat perakuan daripada Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan al-Quran KDN. Pihak KDN akan melekatkan pelekat hologram dan al-Quran itu sesuai untuk dibaca dan diamal oleh masyarakat di negara kita," katanya kepada pemberita di reruai KDN.

Menurut Nik Yusaimi, pihaknya tidak menetapkan had bilangan penukaran al-Quran oleh setiap pengunjung.

"Tiada istilah stok tidak mencukupi. Memang kita (KDN) sediakan (stok al-Quran) khas untuk program ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai untuk menyemak dan memastikan al-Quran yang hendak dibeli mempunyai pelekat hologram bagi mengelak daripada membeli naskhah yang tidak diperakukan dan mungkin mengandungi kesalahan.

"Penjual, pengedar dan pengimport pula perlu memastikan al-Quran yang hendak dijual diperakukan KDN. Insya-ALLAH kita boleh mencapai sasaran sifar Al-Quran yang tidak diperakukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI diadakan selama tiga hari bermula Jumaat dengan acara kemuncaknya adalah majlis perasmian penutupan yang dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 3 petang ini. - Bernama