Memartabatkan ekonomi Malaysia

Tengku Zafrul memberi penerangan mengenai kad laporan pada sidang akhbar pengumuman Kad Laporan MITI-Setahun Kerajaan Madani di Menara MITI, Putrajaya pada Rabu lalu. - Foto Bernama
Tengku Zafrul memberi penerangan mengenai kad laporan pada sidang akhbar pengumuman Kad Laporan MITI-Setahun Kerajaan Madani di Menara MITI, Putrajaya pada Rabu lalu. - Foto Bernama
A
A
A

SUDAH genap setahun saya menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam Kerajaan Perpaduan.

Tanggungjawab ini telah dilaksanakan sebaik mungkin, namun elok untuk kita mengimbau semula kejayaan yang telah dicapai, dan merancang penambahbaikan untuk tahun 2024.

Salah satu perkara pertama yang MITI lakukan adalah penambahan perkataan ‘Pelaburan’ kepada nama kementerian, bagi mencerminkan kepentingan fungsi ini dalam agenda peningkatan ekonomi negara.

Ini kerana pelaburan berterusan yang bakal menjana peluang pekerjaan dan perniagaan untuk ekonomi tempatan.

Beberapa hari lalu, kami telah mengumumkan pelaburan diluluskan RM225 bilion dari Januari hingga September 2023, yang sudah pun melebihi sasaran tahunan sekitar RM220 bilion. Kini, usaha perlu digandakan untuk merealisasikan pelaburan tersebut, demi menjana 89,495 unjuran peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia.

Kami juga berazam untuk memastikan kadar realisasi yang tinggi bagi pelaburan RM225 bilion yang diluluskan.

Alhamdulillah, pelbagai kelulusan pelaburan, di peringkat persekutuan dan negeri telah disegerakan melalui Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP), dan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaburan (ICCM).

Kami juga telah menyegerakan penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) di MIDA – sebuah pusat sehenti di mana pelabur boleh menyelesaikan pelbagai urusan secara langsung dengan pihak berkuasa seperti Kastam, Imigresen, Hasil Dalam Negeri, Jabatan Tenaga Kerja dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Bagi tempoh 10 bulan hingga Oktober 2023, jumlah dagangan mencecah RM2.18 trilion. Namun eksport dan import berkurangan kira-kira 8 peratus tahun ke tahun, selaras dengan kelembapan perdagangan global.

Walau bagaimanapun, usaha MATRADE mempelbagaikan destinasi eksport telah berjaya meningkatkan jualan ke negara seperti Brazil (naik 13.5 peratus), Nigeria (naik 7.3 peratus) dan Tanzania (naik 10 peratus), dan ini sedikit sebanyak telah membantu.

Insya-ALLAH, eksport bakal pulih tahun depan, disokong oleh antara lainnya, permintaan global dalam sektor E&E.

Kami proaktif dalam memanfaatkan penyusunan semula rantaian bekalan global, dan menarik pelaburan dalam pengeluaran semikonduktor yang bernilai lebih tinggi, seperti reka bentuk Litar Bersepadu (IC) dan wafer fabrication.

Dalam masa beberapa tahun lagi, kita bakal meraih manfaat daripada peningkatan industri semikonduktor Malaysia dalam rantaian bekalan dunia dengan sokongan syarikat-syarikat seperti Infineon, Nvidia, SkyeChip dan Oppstar.

Ini akan terus mengukuhkan Malaysia dalam pasaran global, di mana kita telah menguasai 7 peratus pasaran semikonduktor dunia.

Industri halal juga giat dipacu untuk meningkatkan eksport. Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 berjaya mencatatkan jualan bernilai RM3.11 bilion, 24 peratus lebih tinggi daripada sasaran.

Ekosistem halal negara akan membolehkan kita memanfaatkan peluang daripada pasaran global yang kini bernilai AS$5 trilion.

Tarik pelabur

Apabila saya bertemu pelabur sepanjang tahun ini, maklum balas yang kerap diterima ialah bagaimana mereka menghargai kestabilan politik Kerajaan Perpaduan, serta kejelasan dasar dalam hala tuju ekonomi negara, melalui polisi seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.

Penglibatan di platform antarabangsa juga penting sama ada platform ekonomi, mahupun media antarabangsa, kami sentiasa menekankan usaha Kerajaan Perpaduan ke arah pembaharuan sosioekonomi, serta bagaimana pelaburan berimpak tinggi dan berkualiti tinggi akan dipermudahkan untuk meningkatkan ekonomi seperti yang digariskan oleh Rangka Kerja Ekonomi Madani.

Secara kumulatif, semua inisiatif ini telah berjaya mengekalkan momentum pelaburan langsung asing dan domestik pada tahun 2023, walaupun ekonomi global melembap. Yang pasti, Malaysia kini kembali menarik perhatian pelabur.

Bagi mengekalkan momentum ini, untuk tahun 2024 dan seterusnya, MITI akan memberi tumpuan kepada tiga perkara.

Pertama, penerapan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dalam sektor pembuatan akan meningkat, dan ini bakal menjana permintaan terhadap bakat mahir.

Melalui NIMP2030, banyak projek berteknologi tinggi telah dimulakan, seperti reka bentuk IC, wafer fabrication, dan kilang pintar. Justeru, kita perlu meningkatkan pendaftaran pelajar dalam mata pelajaran STEM untuk mengisi pelbagai jawatan berkemahiran tinggi di masa hadapan.

Sehubungan itu, MITI juga akan mengukuhkan kerjasama industri-akademik untuk mebangunkan modal insan berkemahiran dan meningkatkan produktiviti, dua isu utama yang sering dibangkitkan oleh pelabur.

Bagi pelabur yang ingin menapak atau mengembangkan pelaburan mereka di Malaysia, MITI kini mensyaratkan agar pekerjaan berkepakaran tinggi dan latihan berkemahiran tinggi perlu ditawarkan kepada sejumlah rakyat Malaysia.

Kedua, isu kemampanan bumi kita semakin mendesak, dan penerapan prinsip ESG adalah kunci untuk membina daya tahan ekonomi Malaysia.

Dalam hal ini, MITI sedang meningkatkan penerimaan ESG melalui pelbagai aspek ekosistem kami, untuk menjana pertumbuhan yang lebih seimbang, dan mencapai sasaran pelepasan GHG sifar bersih menjelang tahun 2050.

Usaha ini merangkumi pelaburan dalam teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, pengeluaran dan penggunaan EV, serta penerapan amalan ESG oleh PKS Malaysia melalui Rangka Kerja ESG Industri Nasional (i-ESG).

Dalam hal mobiliti elektrik, kami baharu sahaja melancarkan skim MARiiCas pada 8 Disember 2023.

Skim ini menggalakkan penggunaan motosikal EV, melalui rebat sehingga RM2,400 untuk rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM120,000 setahun.

Ketiga, pelaksanaan yang berdisiplin dan ketelusan adalah penting. Tahun 2024 bakal menyaksikan pelaksanaan fasa awal atau pengembangan pelaburan di Malaysia oleh pelbagai jenama global, termasuk Amazon Web Services, Enovix, Google, MASDAR, Microsoft, Yondr, SEA Limited, Tesla dan TikTok.

Pelbagai inisiatif di bawah dasar-dasar MITI seperti NIMP2030, Dasar Automotif Nasional, Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia dan i-ESG juga akan dilaksanakan.

Kesemua kemajuan dan pencapaian pelbagai projek utama ini akan dikongsikan. Hari Kad Laporan MITI pertama telah dianjurkan pada 6 Disember 2023, dan kami berhasrat untuk mengadakannya setiap suku tahun bermula tahun 2024.

Tahun 2023 telah dilanda pelbagai cabaran global, termasuk gangguan rantaian bekalan, inflasi berterusan dan ketegangan geopolitik.

Tahun 2024 bakal menjadi lebih mencabar, kerana negara-negara yang membentuk lebih 50 peratus daripada KDNK global akan menjalani pilihan raya.

Keputusannya pasti akan memberi impak kepada landskap geopolitik dan ekonomi dunia yang semakin rapuh.

Saya percaya ketiga-tiga keutamaan kami akan memastikan sektor-sektor pelaburan, perdagangan dan industri Malaysia kekal berdaya saing, walau apa pun yang berlaku di dunia.

Saya sentiasa bersifat terbuka kepada mereka yang ingin berkongsi pandangan bagi membina Malaysia yang lebih makmur untuk semua.

Jika kita sentiasa berusaha dalam merealisasikan pelan-pelan tindakan yang mantap, Insya- ALLAH kita tidak perlu gentar dalam menghadapi cabaran ekonomi global tahun 2024.

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)