Selangor sedia tubuh semula jawatankuasa khas Covid-19

Amirudin (tiga dari kanan) melepaskan burung sebagai simbolik perasmian Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Simpang Lima pada Ahad.
Amirudin (tiga dari kanan) melepaskan burung sebagai simbolik perasmian Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Simpang Lima pada Ahad.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor bersedia menubuhkan semula jawatankuasa khas Covid-19 jika pandemik itu terus menunjukkan peningkatan di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya sedang memperoleh data dan maklumat terkini daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai jumlah kes yang direkodkan.

Menurut beliau, kerajaan negeri termasuk menerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam Selangor (SELPHAC) sehingga kini sentiasa memantau situasi Covid-19.

"Kita menyedari berlaku peningkatan kes di Selangor dan ia melibatkan gandaan jumlah kes dan jika mempunyai keperluan, kita akan tubuh semula jawatankuasa tangani Covid-19 yang ditutup sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perasmian Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Simpang Lima di sini pada Ahad.

Amirudin (duduk baris dua, kanan) mendayung kayak pada Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Simpang Lima pada Ahad.
Amirudin (duduk baris dua, kanan) mendayung kayak pada Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Simpang Lima pada Ahad.

Karnival anjuran Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI) selama tiga hari itu dihadiri lebih 10,000 pengunjung, mempamerkan identiti tempatan, penjagaan alam sekitar dan wawasan yang dikongsi bersama demi kelestarian masa depan.

Amirudin berkata, situasi Covid-19 di Selangor setakat ini masih terkawal, namun pihaknya bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak pernah memandang rendah mengenai peningkatan kes yang berlaku dan mengambil kira pengalaman menanganinya sebelum ini.

"Saya menasihatkan individu bergejala dan dijangkiti supaya mengasingkan diri sebagai langkah mencegah penularan pandemik," jelas beliau.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan sebanyak 3,626 kes dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 iaitu dari 19 hingga 25 November lalu.

Jumlah itu meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya dan Selangor menjadi negeri tertinggi setakat ini.

Majoriti kes atau 48 peratus daripadanya melibatkan individu berusia 20 hingga 40 tahun dan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan.