KPDNHEP kaji dua akta untuk kawal selia penjualan CRS

Ketika ini tidak ada peruntukan perundangan yang khusus di bawah bidang kuasa akta-akta yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP berkenaan dengan standard keselamatan penjualan produk CRS dalam pasaran. - Foto123RF
Ketika ini tidak ada peruntukan perundangan yang khusus di bawah bidang kuasa akta-akta yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP berkenaan dengan standard keselamatan penjualan produk CRS dalam pasaran. - Foto123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kuasa Menteri di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (APP 1999) dan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) boleh dipertimbangkan kesesuaiannya untuk dijadikan peraturan bagi mengawal selia penjualan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam pasaran.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, kementerian boleh mengkaji kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada menteri di bawah peruntukan Seksyen 19 APP 1999 dan Seksyen 29 APD 2011 bagi aspek pematuhan standard keselamatan untuk kerusi keselamatan kanak-kanak.

“Perintah ini boleh melibatkan larangan kepada CRS yang tidak mematuhi spesifikasi standard yang ditetapkan daripada dijual di premis perniagaan dan tindakan diambil terhadap peniaga yang menjual CRS yang tidak mematuhi standard,” jelas KPDNHEP bagi mengulas penjualan berleluasa CRS pada harga murah secara dalam talian

Menurut kenyataan itu, KPDNHEP terlibat dalam pelaksanaan garis panduan CRS secara umumnya lebih menjurus kepada penguatkuasaan berkaitan aspek representasi palsu atau mengelirukan.

"Ia termasuk dari segi perihal standard keselamatan produk, kelulusan pihak berwibawa, ciri-ciri pencapaian dan penggunaan serta cap dagangan palsu dalam aktiviti penjualan atau pengiklanan dalam menawarkan produk CRS oleh peniaga atau industri.

“Pada ketika ini tidak ada peruntukan perundangan yang khusus di bawah bidang kuasa akta-akta yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP berkenaan dengan standard keselamatan penjualan produk CRS dalam pasaran,” katanya.

Menghuraikan Seksyen 19 APP 1999, KPDNHEP menjelaskan ia memperuntukkan kuasa kepada menteri membuat peraturan menetapkan standard keselamatan bagi barang, seperti yang sedang berkuat kuasa untuk barang mainan kanak-kanak dan bateri primer.

Seksyen 29 APD 2011 pula, menurut KPDNHEP, jika perlu untuk kepentingan orang sesuatu barang dibekalkan, menteri boleh melalui perintah menetapkan bahawa barang itu diperakukan oleh pihak berkuasa berwibawa atau ditandakan dengan cap yang ditentukan menteri.

Artikel Berkaitan:

Contoh yang sedang berkuat kuasa pada ketika ini di bawah Seksyen 29 APD 2011 itu ialah untuk topi keledar motosikal, tayar pneumatik dan pelapik brek gantian.

KPDNHEP dalam pada itu berkata, ia akan memanfaatkan beberapa peruntukan undang-undang untuk memantau penjualan CRS sama ada di premis perniagaan atau secara dalam talian bagi memastikan keselamatan pengguna dilindungi.

Antara peruntukan undang-undang tersebut ialah Seksyen 10(1)(h) APP 1999, Seksyen 21 APP 1999, Seksyen 5 APD 2011, Seksyen 18 APD 2011 dan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.

KPDNEHP turut menasihati pengguna supaya membuat perbandingan dan merujuk Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sebelum membuat pembelian. - Bernama