Kerajaan Perpaduan bumbung konkrit, sukar ditebuk - Anwar

Dari kiri: Ahmad Zahid, Anwar dan Fadhilah sepentas pada Sesi Dialog Madani sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani pada Ahad.
Dari kiri: Ahmad Zahid, Anwar dan Fadhilah sepentas pada Sesi Dialog Madani sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini berbumbungkan atap konkrit dan sukar 'ditebuk'.

Menurutnya, bersandarkan itu juga, tiada keperluan untuk melaksanakan gabungan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan bawah satu organisasi.

"Bumbung kita adalah bumbung konkrit. Orang yang fikir nak tebuk atap, mentalitinya tebuk atap. Jika itu (tindakan tebuk atap) yang dibimbangi, biarlah format yang ada (terus) dicuba.

"Ini kerana setiap parti dalam kerajaan mempunyai kerjasama baik. Sepanjang setahun Kerajaan Madani, belum pernah dalam Jemaah Menteri bertelagah atas nama perbezaan politik.

"Maka percubaan ini berhasil. Jadi insya-ALLAH kita ada kekuatan dan akan membuatkan segala percubaan pembangkang yang terdesak, akan gagal," katanya pada Sesi Dialog Madani sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian menjawab cadangan salah seorang pengunjung yang menggesa agar semua parti politik dalam kerajaan bergabung bawah satu entiti bagi mengelakkan berlakunya kejadian 'tebuk atap' untuk membentuk kerajaan baharu.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua 18 parti politik dalam kerajaan memberikan dukungan penuh kepada Anwar bukan hanya soal prinsip tetapi juga soal pelaksanaan.

"Jika terdapat perbezaan pandangan daripada akar umbi, ia bukan pendapat atau pendirian parti, tapi individu," tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Datuk Seri Fadillah Yusof juga senada berikrar bersama Kerajaan Madani dan dengan matlamat untuk fokus memastikan negara bergerak maju.

"Kita wujudkan kestabilan politik, kemudian kerajaan pastikan kekuatan ekonomi untuk bantu rakyat.

"Dalam satu tahun, kita dah capai dan empat tahun lagi kita akan jadi negara yang lebih makmur demi kesejahteraan rakyat," katanya.