Anak penjual kuih terima Anugerah Tuanku Canselor

Mohamed Aiedil Putera (tengah) di samping ibu bapanya yang hadir sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-16 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar pada Sabtu.
Mohamed Aiedil Putera (tengah) di samping ibu bapanya yang hadir sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-16 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar pada Sabtu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - 'Belajarlah, kami tiada harta untuk diwariskan, hanya ilmu untuk menjamin masa depan'.

Ungkapan itu menjadi pendorong kepada seorang anak penjual kuih cemerlang dalam pelajaran hingga berjaya merangkul Anugerah Tuanku Canselor sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-16 di Dewan Jubli Perak di sini pada Sabtu.

Mohamed Aiedil Putera Sulaiman, 26, berkata, sebelum ini dia mengambil keputusan untuk tidak menyambung pengajian kerana mahu bekerja membantu ibu bapanya menyara keluarga.

Bagaimanapun, hasrat anak sulung daripada empat beradik itu tidak dipersetujui ibu bapanya, Sulaiman Mohd Mansor, 75, dan Roni Patina Sarani, 50, yang bertegas agar dirinya mengutamakan pelajaran.

"Kami bukan orang senang, ayah ambil upah kerja kampung, mak pula jual kuih. Duit itulah yang digunakan untuk besarkan kami.

"Sebab itu kalau boleh, habis sekolah biarlah saya kerja bantu mak ayah sekolahkan adik-adik.

"Alhamdulillah, mak dan ayah segera menyedarkan saya, bahawa keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang bijak, memandangkan hanya dengan ilmu dapat mengubah hidup kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pemberita.

Anugerah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Cancelor USAS.

Artikel Berkaitan:

Anak jati Kuala Kangsar itu berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.84.

Aktif sebagai Pengerusi Gerakan Belia 4B Kuala Kangsar dan Ahli Dewan Belia Perak DUN Bukit Chandan, Mohamed Aiedil Putera mendapat tawaran menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Menceritakan pengalaman sepanjang pengajian, beliau mengaku pernah menahan lapar berbulan-bulan kerana tidak sampai hati meminta wang belanja daripada ibu bapanya.

"Itu berlaku ketika saya di peringkat diploma, saya hanya makan mi segera bila lapar, jatuh la juga air mata bila mengenangkan tak cukup duit ketika itu," katanya.

Sementara itu, Roni Patina berkata, jerih perih membesarkan anak seakan terbayar dengan kejayaan dirangkul Mohamed Aiedil Putera.

Dia yang menjual kuih mengikut tempahan seperti untuk kedai dan masjid berkata, pencapaian itu bukti bahawa kesusahan tidak boleh dijadikan alasan untuk seseorang meraih kecemerlangan hidup.

"Buat ibu bapa di luar sana yang meniaga kuih seperti saya atau apa sahaja pekerjaan yang dilakukan, berusahalah untuk pastikan anak-anak mendapat pelajaran sempurna.

"Jangan pernah abaikan pendidikan kerana dengan ilmulah kita dapat mengubah kehidupan ke arah lebih baik," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!