Isu godam data PERKESO: Kerajaan perkukuh keselamatan siber negara - PM

Anwar ketika melawat tapak pameran sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (tiga, kanan). - Foto Bernama
Anwar ketika melawat tapak pameran sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (tiga, kanan). - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan kini sedang memperkukuhkan keselamatan siber di negara ini bagi mengelak berlakunya insiden serangan siber, seperti terjadi kepada laman sesawang Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang digodam sejak Sabtu lepas (2 Disember).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat yang mempunyai keupayaan untuk mengekang serangan siber.

"Kita sekarang memperkukuhkan cyber security dan ada juga keputusan MKN dan MCMC, untuk menjalin kerjasama dengan syarikat yang mempunyai keupayaan mengekang serangan siber,” katanya kepada pemberita selepas melawat Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dilapor berkata CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi, akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan laman pangkalan data PERKESO digodam.

Mengulas mengenai pelantikan lima ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Anwar menyifatkan ia merupakan penugasan dalam meneruskan usaha kerajaan Madani yang mengutamakan tatakelola baik dengan membanteras rasuah di negara ini.

"Sepertimana kita tahu dalam Kerajaan Madani, tatakelola merupakan pokok utama dan pembanterasan rasuah mesti diteruskan.

"Memang ada sedikit kejayaan permulaan dan antara ukuran penting ialah pimpinan. Sehingga sekarang, setahun belum ada bantahan dan pendedahan tentang salah laku dan rasuah dalam kalangan pimpinan (kerajaan),” katanya.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar); Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar); Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui (GRS-Tawau) dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman (PH-Bentong), menerima surat cara pelantikan sebagai ahli JKMR pada 28 November lepas.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara, mereka dilantik selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat Anwar dan tempoh keahlian mereka berkuat kuasa mulai 9 Oktober lepas hingga 8 Oktober 2026.
Artikel Berkaitan:


Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira sejam berkunjung ke reruai beberapa kementerian termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan menerima cenderahati daripada agensi di bawah KKD seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Anwar yang tiba kira-kira 11.30 pagi disambut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. - Bernama