Muhammad Salihin cipta kejayaan lagi, rangkul Piala Panglima Tentera Udara

Leftenan Muhammad Salihin (kanan) bersama bapa, Mohd Sabri Sulaiman sambil memegang Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku) selepas Upacara Penyampaian Sayap Penerbangan di Kolej Tentera Udara pada Sabtu.
Leftenan Muhammad Salihin (kanan) bersama bapa, Mohd Sabri Sulaiman sambil memegang Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku) selepas Upacara Penyampaian Sayap Penerbangan di Kolej Tentera Udara pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang anak Malaysia yang pernah mengharumkan nama negara sebagai individu keempat berjaya menamatkan kursus di Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (USAFA) sekali lagi mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai penerima Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku).

Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Muhammad Salihin Mohd Sabri, 25, dari Kuala Lumpur antara 26 pelatih Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1) dan INSPEN 2 yang menerima sayap penerbangan di Kolej Tentera Udara di sini, pada Sabtu.

Anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu, dia mempunyai minat mendalam dalam bidang penerbangan dan suka melihat kapal terbang sejak dari kecil.

"Minat makin mendalam apabila melihat bapa saudara saya yang juga bekas Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Tan Sri Abdul Ghani Abdul Aziz menyandang jawatan juruterbang.

"Apabila berpeluang bertemu bapa saudara, saya banyak bertanya mengenai skop kerja sebagai juruterbang sehinggalah saya mula meminati kerjaya sebagai juruterbang TUDM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Upacara Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Siri 84/22 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 64/22 di Kolej Tentera Udara di sini, pada Sabtu.

Tambah Muhammad Salihin, dia memohon melanjutkan pengajian ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan diterima masuk dalam jurusan Asasi Kejuruteraan selepas menamatkan persekolahan di Victoria Institution (VI).

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di USAFA dan berjaya menamatkan pelajaran serta menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Sistem.

Artikel Berkaitan:

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan beramah mesra dengan keluarga Leftenan Saw Jie Sheng (dua, kiri) selepas Upacara Penyampaian Sayap Penerbangan di Kolej Tentera Udara pada Sabtu.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan beramah mesra dengan keluarga Leftenan Saw Jie Sheng (dua, kiri) selepas Upacara Penyampaian Sayap Penerbangan di Kolej Tentera Udara pada Sabtu.

"Alhamdulillah, saya kemudiannya pulang ke tanah air dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TUDM dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Leftenan TUDM," katanya.

Kata Muhammad Salihin, dia turut menjalani kursus asas penerbangan dan menerima sayap penerbangan daripada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, sekali gus berjaya mencapai cita-cita diimpikan sejak dari kecil.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih atas sokongan dan bantuan semua pihak terutamanya ahli keluarga, jurulatih dan rakan-rakan membantu merealisasikan cita-cita menjadi juruterbang itu.

Sementara itu, Leftenan Saw Jie Sheng, 23, berkata, dia berbangga apabila mengharumkan nama ibu bapanya, Saw Chuan Hin, 59, dan Ooi Bee Yong, 58, apabila menjadi individu pertama dalam keluarga mereka menjadi juruterbang TUDM.

Katanya, dia ingin menjejaki langkah bapanya yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM), manakala abangnya, Saw Jie Hao, 31, pula adalah Tentera Darat.

"Saya memang meminati bidang ketenteraan disebabkan ramai ahli keluarga adalah tentera, namun saya mencuba nasib sebagai tentera udara kerana tiada ahli keluarga yang menyertai TUDM," katanya.

Jie Sheng menambah, dia tidak pernah berdepan masalah walaupun menjadi satu-satunya kaum Cina yang mengikut kursus penerbangan tersebut.

Bagi Leftenan R Sanjeshwaren, 23, dia juga tidak berasa terasing ataupun bersendirian disebabkan rakan-rakannya tidak pernah membezakan dirinya dengan mereka.

Kata Sanjeshwaren, dia berbangga apabila berjaya menamatkan latihan, sekali gus menerima sayap penerbangan bersama rakan lain.