NVIDIA lihat Malaysia miliki sumber, kemampuan jadi hab AI - Anwar

Anwar (lima dari kanan) dan Jensen Huang (lima dari kiri) merakam kenangan selepas mengadakan perbincangan bersama dengan NVIDIA Corporation pada Jumaat. - Foto: FB Anwar Ibrahim
Anwar (lima dari kanan) dan Jensen Huang (lima dari kiri) merakam kenangan selepas mengadakan perbincangan bersama dengan NVIDIA Corporation pada Jumaat. - Foto: FB Anwar Ibrahim
A
A
A

NVIDIA Corporation, sebuah syarikat teknologi multinasional, melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber dan kemampuan untuk menyediakan keperluan dan syarat sebagai sebuah hab kecerdasan buatan (AI).

NVIDIA telah menjadi perintis dalam pengkomputeran dipercepatkan dan kini merupakan syarikat keenam terbesar di dunia dari segi permodalan pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, NVIDIA telah menyatakan kesediaan untuk menyokong hasrat Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait AI dan bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI di Malaysia menerusi sokongan dalam pembinaan pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, selain pewujudan sistem Awan AI Malaysia sendiri.

"Dalam pertemuan tadi, perbincangan kami menyinggung potensi Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait AI. Saya tekankan bahawa Malaysia memerlukan infrastruktur AI bertaraf dunia bagi memupuk bakat tempatan dan membangunkan inovasi yang diterajui AI,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau.

Petang tadi, Anwar telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong.

Anwar berkata, keputusan NVIDIA untuk melabur di Malaysia adalah satu isyarat yang jelas bahawa pelabur asing, terutamanya syarikat gergasi teknologi dunia terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini.

Beliau berkata, NVIDIA akan mengadakan perkongsian strategik dengan konglomerat Malaysia, YTL yang membina pusat data AI melibatkan pelaburan berjumlah RM20 bilion.

YTL telah memulakan pelaburan dalam superkomputer berkuasa H100 terbaru bagi membina sistem Awan AI berpangkalan di Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!