Tebing 'jambatan antarabangsa' terbelah dua

Abdul Rahman menunjukkan runtuhan tebing jambatan
Abdul Rahman menunjukkan runtuhan tebing jambatan
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Tebing sebuah jambatan di Kampung Jelatang di sini runtuh menyebabkan penduduk di beberapa kampung di Kota Bharu dan Kubang Kerian terpaksa mengambil masa agak lama untuk keluar ke bandar utama di dua daerah itu.

Jambatan Sungai Lubok Mulong menjadi tumpuan penduduk dua daerah itu walaupun ada jalan utama berikutan mahu mengelakkan kesesakan terutama pada hari bekerja.

Pesara kerajaan, Abdul Rahman Husain, 63, mendakwa menyedari tebing jambatan itu mula merekah kira-kira jam 7 pagi ketika melalui laluan berkenaan untuk membeli sarapan.

Bagaimanapun katanya, rekahan tebing semakin lebar sehingga berlaku runtuhan lebih dua meter kira-kira jam 2 petang.

"Kami gelar jambatan ini sebagai 'jambatan antarabangsa' kerana tidak pernah sunyi dilalui kenderaan terutama pengguna dari Kota Bharu ke bandar Kubang Kerian dan sebaliknya," katanya ketika ditemui di lokasi itu pada Jumaat.

Muhd Iqbal Yusran, 10, memegang tanda amaran runtuhan tebing jambatan di Kampung Jelatang
Muhd Iqbal Yusran, 10, memegang tanda amaran runtuhan tebing jambatan di Kampung Jelatang

Menyedari keselamatan pengguna jalan itu, Abdul Rahman dan beberapa rakan bertindak meletakkan tali dan papan tanda amaran kira-kira 100 meter dari lokasi rekahan.

Jelasnya, laluan itu digunakan penduduk beberapa kampung di Kota Bharu termasuk Seribong, Kampung Pasir Hor, Kampung Rupik dan Kampung Jelatang untuk ke Kubang Kerian.

Artikel Berkaitan:

Amirah Syamimi
Amirah Syamimi

Sementara itu, pekerja sebuah kafe, Amirah Syamimi Mohd Noor, 21, terpaksa mengambil masa 15 minit untuk sampai ke tempat kerjanya di Kubang Kerian jika tidak melalui jambatan itu.

"Biasanya saya hanya mengambil masa hanya lapan minit melalui jalan pintas ini dan lebih mudah kerana tiada lampu isyarat serta tidak banyak kenderaan," katanya.

Amirah Syamimi mengakui tidak menyedari runtuhan tebing jambatan itu dan terpaksa berpatah balik ke jalan utama untuk ke Kubang Kerian.

Penduduk Kampung Pasir Hor, Muhammad Abdul Aziz Mawardi pula memaklumkan, menyedari berlaku runtuhan itu kira-kira jam 10 pagi melalui grup WhatsApp kampungnya.

Muhammad Abdul Aziz berkata, penduduk mendakwa runtuhan itu berlaku akibat aliran sungai deras dan hujan berterusan.

"Saya berharap jambatan ini dibaiki segera kerana menjadi jalan pintas utama kepada ramai pemandu kenderaan untuk ke bandar Kubang Kerian dan bandar Kota Bharu," katanya.