Pasukan penyiasat tinjau lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan

Beberapa pegawai dan anggota polis bagaimanapun dilihat keluar dan masuk ke kawasan berkenaan untuk melaksanakan tugas mereka. - Foto Awani
Beberapa pegawai dan anggota polis bagaimanapun dilihat keluar dan masuk ke kawasan berkenaan untuk melaksanakan tugas mereka. - Foto Awani
A
A
A

PETALING JAYA - Sepasukan pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman hari ini menjalankan siasatan rapi di lokasi penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, di Damansara Damai di sini.

Belukar yang terletak kira-kira 100 meter dari blok kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, itu kini ditutup kepada orang ramai bagi mengelakkan gangguan kepada bahan bukti yang mungkin masih terdapat di situ.

Tinjauan Awani mendapati jalan denai yang menuju ke anak sungai yang menjadi tempat mayat mangsa ditemui Rabu malam, agak sukar untuk dilalui, dengan tebing yang tinggi dan licin akibat hujan lebat.

Beberapa pegawai dan anggota polis bagaimanapun dilihat keluar dan masuk ke kawasan berkenaan untuk melaksanakan tugas mereka.

Kumpulan pengamal media juga turut menunggu berhampiran garisan polis bagi bersedia mendapatkan maklumat terkini berhubung siasatan kes termasuk siasatan di tempat kejadian.

Ahli keluarga mangsa bagaimanapun belum kelihatan buat masa ini.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain memaklumkan Zayn Rayyan tidak meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

Beberapa pegawai dan anggota polis bagaimanapun dilihat keluar dan masuk ke kawasan berkenaan untuk melaksanakan tugas mereka. - Foto Awani
Beberapa pegawai dan anggota polis bagaimanapun dilihat keluar dan masuk ke kawasan berkenaan untuk melaksanakan tugas mereka. - Foto Awani

Rumusan itu diperoleh hasil bedah siasat dan berdasarkan usaha pencarian yang dilakukan di kawasan mayat dijumpai.

Kes bunuh itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Rabu malam, Zayn Rayyan yang dilaporkan hilang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di sebatang sungai, berhampiran lokasi hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang ketika bermain di taman permainan di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, pada Selasa.

Ibunya, Ismanira Abdul Manaf dilaporkan berkata, ada kanak-kanak lain di kawasan itu mendakwa ternampak anaknya masuk ke kawasan belukar yang terletak kira-kira 100 meter dari blok kediamannya.

Terdahulu, polis tidak menolak kemungkinan faktor hujan lebat dan air naik di kawasan anak sungai dan longkang berhampiran tempat kejadian menyebabkan mangsa dipercayai tidak dapat ditemui sebelum ini.

Sebelum kejadian, Ismanira yang bekerja sebagai kerani mengambil anaknya di Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2) dan pulang ke rumah kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Kanak-kanak itu kemudian disedari hilang ibunya ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tiga apartmen berkenaan. - Awani