Penyokong harap pemain TFC boleh hadap padang rosak

Muda (dua dari kiri) memakai kain batik bersama penyokong bersemangat pergi ke SBNJ beri sokongan pada TFC.
Muda (dua dari kiri) memakai kain batik bersama penyokong bersemangat pergi ke SBNJ beri sokongan pada TFC.
A
A
A

PENYOKONG mengharapkan pemain Terengganu FC (TFC) mampu melakukan aksi terbaik pada perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada final Piala Malaysia meskipun perlu berhadapan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang masih masih rosak dan bertampal.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu Darul Iman (TFFC), Wan Mohd Hafizul Nik Anuar meluahkan rasa kekecewaan namun tetap optimis bahawa TFC mampu mengatasi rintangan dengan melakar kejayaan menjulang trofi Piala Malaysia pada malam ini.

Wan Mohd Hafizul (tengah) yakin TFC mampu melakukan aksi terbaik pada perlawanan menentang JDT pada final Piala Malaysia, malam ini.
Wan Mohd Hafizul (tengah) yakin TFC mampu melakukan aksi terbaik pada perlawanan menentang JDT pada final Piala Malaysia, malam ini.

"Sebagai penyokong kecewa lah dengan situasi tersebut. Jadi kita harap ada jalan penyelesaian atasi masalah padang rosak itu.

"Saya rasa momentum pemain TFC sangat tinggi. Jadi kami sebagai penyokong mengharapkan suatu keajaiban yang dilakukan TFC supaya dapat memenangi Piala Malaysia pada malam ini.

"Sebagai penyokong, saya nasihatkan rakan-rakan dan penyokong TFC lain supaya jaga tingkah laku sebagai orang Terengganu yang kaya dengan sopan santun dan budaya. Budi bahasa perlu dijaga serta kena jaga maruah negeri kita ketika berada di tempat orang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian di Kuala Terengganu pada malam Khamis.

Sementara itu, seorang penyokong, Muda Mat Ali, 62, menyatakan pemain TFC diharapkan dapat memberi komitmen 100 peratus untuk beraksi dengan cemerlang ketika perlu berhadapan keadaan padang yang kurang memuaskan.

Artikel Berkaitan:

"Masalah padang tak boleh buat apa. Kena terima hakikat bahawa TFC turun sebagai 'underdog'. Jadi pemain perlu beraksi baik walaupun padang rosak.

"Kita juga harap perlawanan malam ini dikendalikan pegawai perlawanan yang adil malah saya akan datang ke stadium malam ini bertemakan kain batik sebagai kelainan untuk memeriahkan lagi suasana perlawanan," ujarnya.

Selain itu, seorang lagi penyokong, Ahmad Faizal Hussin, 38, memaklumkan sebagai penyokong dia bersama rakan-rakan lain membawa harapan besar dari jauh untuk memberi sokongan kepada TFC.

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal

"Kami hadir dengan seramai 250 penyokong dengan menaiki empat bas dan diikuti kenderaan persendirian ke stadium. Sedih juga tengok keadaan padang tetapi kita doakan kejayaan TFC dapat bermain dengan baik.

"Sudah tentu harapan kami supaya TFC dapat tamatkan kemarau lebih 20 tahun dengan keajaiban pada malam ini apabila TFC membawa Piala Malaysia ke bumi Terengganu," ujarnya.

Isu padang tersebut menjadi isu yang hangat diperkatakan oleh penyokong bola sepak selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi gambar padang yang rosak angkara konsert kumpulan Coldplay, baru-baru ini.

Sebelum ini, rumput SNBJ ditukar daripada rumput Cow Grass kepada Zeon Zoysia apabila Tunku Ismail menjadi pencetus dan penaja utama kepada penukaran rumput itu.

Rumput tersebut digunakan buat pertama kali ketika perlawanan Pestabola Merdeka antara Harimau Malaya dan India yang menyaksikan padang itu mendapat kritikan selepas rosak teruk akibat keadaan rumput yang belum matang.

Muda (dua dari kiri) memakai kain batik bersama penyokong TFC lain sebelum bertolak ke SBNJ
Muda (dua dari kiri) memakai kain batik bersama penyokong TFC lain sebelum bertolak ke SBNJ

Ia bertambah baik ketika aksi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ketika Harimau Malaya menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi pembukaan Kumpulan D.

Bagaimanapun, keadaan padang itu sekali lagi mengundang kemarahan orang ramai apabila konsert Coldplay yang berlangsung baru-baru ini menyebabkan keadaan rumput itu kembali rosak.

Final Piala Malaysia 2023 antara juara bertahan, JDT dan TFC akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Sepak mula aksi akhir antara dua gergasi bola sepak negara itu ditetapkan pada jam 9 malam.