Aura pentas Piala AFC, barakan inspirasi buat Terengganu

Terengganu FC disifatkan dalam prestasi terbaik untuk mencipta kejutan ke atas penyandang juara JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Sadek)
Terengganu FC disifatkan dalam prestasi terbaik untuk mencipta kejutan ke atas penyandang juara JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Sadek)
A
A
A

PRESTASI Terengganu FC (TFC) dalam saingan Piala AFC dilihat pemacu untuk skuad Penyu tampil lebih garang menyaingi juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada Jumaat.

Malah, pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa percaya pengendali skuad Penyu, Tomislav Steinbruckner telah pun mencongak strategi ampuh sebelum mengikat Penang FC, 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 3 Disember lalu.

Jelasnya, skuad Peteh Ganu Peteh telah memaksimumkan potensi pemain-pemain ketika mengikat kelab Liga Australia, Central Coast Mariners 1-1 dalam aksi Kumpulan G Piala AFC, 29 November lalu.

“Jika kita lihat pada masa ini pemain-pemain Terengganu sekarang selesa dengan game plan Tomislav apabila berjaya menterjemahkan setiap perancangan taktikalnya.

“Malah dalam saingan peringkat Kumpulan G Piala AFC, Terengganu mempamerkan prestasi yang boleh dibanggakan apabila meraih keputusan positif berdepan kelab rantau Asia Tenggara.

“Terengganu juga sebenarnya telah mengaplikasikan kekuatan sebenar pasukan ketika berdepan kelab Australia, Central Coast Mariners, jadi saya melihat inilah kekuatan pakej sebenarnya Terengganu,” katanya pada Khamis.

Pada masa sama Mohd Sadek percaya kekalahan besar 0-5, Harimau Selatan kendalian Estaban Solari kepada Kawasaki Frontale dalam aksi Kumpulan I akan dimanfaatkan kelab dari pantai timur tersebut.

Tambah Mohd Sadek, bahagian nadi skuad Penyu diketuai Habib Haroon dan Nurillo Tukhtasinov Uzbek juga akan memberikan impak seandainya tampil lebih tenang dalam merencanakan taktikal pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya Steinbruckner telah mendapat tip terbaik bagaimana untuk mematahkan serta menjejaskan rentak permainan pantas JDT.

“Jika kita lihat dalam perlawanan itu, kelincahan Arif Aiman Hanapi dan barisan serangan JDT mampu dikunci jentera pertahanan Kawasaki Frontale,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Sadek juga percaya keadaan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil juga akan menjejaskan corak permainan Harimau Selatan yang terkenal dengan gaya permainan pantas.

“Faktor permukaan padang rumput Stadium Nasional Bukit Jalil juga berkemungkinan besar akan membantutkan corak permainan pantas pemain-pemain JDT.

“Tidak dinafikan situasi sama juga menjejaskan corak permain Terengganu, namun impak lebih dirasai pasukan JDT yang sebelum ini telah biasa beraksi di padang rumput sempurna.

"Dan, situasi akan lebih parah andai gandingan Ivan Mamut, Sony Nordei memanfaatkan setiap peluang lebih awal, Terengganu mampu menamatkan saingan JDT lebih awal,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!