Final Piala Malaysia: BOS mahu 'rentap' semangat Terengganu FC

BOS mahu menggamatkan arena SNBJ, Kuala Lumpur pada Jumaat ini yang bakal menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC.
BOS mahu menggamatkan arena SNBJ, Kuala Lumpur pada Jumaat ini yang bakal menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC.
A
A
A

PENYOKONG kuat Johor Darul Ta'zim (JDT), Boys Of Straits (BOS) sedia 'menggoncang' Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC, Jumaat ini.

Wakil ketuanya, Farihin Johari berkata, mereka akan menggamatkan arena SNBJ dengan kira-kira 4,000 penyokong BOS akan memalu gendang perang bagi meniup semangat juang pemain Harimau Selatan sekali gus melakar kejayaan menjulang Piala Malaysia 2023.

"Tanggal 8 Disember ini akan tercatat dalam lipatan sejarah di mana JDT terus tersohor memahat sejarah memenangi kejuaraan 'quadruple' bagi dua musim berturut-turut.

"Oleh itu, adalah menjadi tugas BOS untuk mempamerkan semangat luar biasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang 90 minit kepada pejuang Harimau Selatan.

"Kita mahu gegarkan arena SNBJ dan merentap semangat TFC yang berkongsi padang pada aksi final ini. Harapan kami hanya satu, JDT dinobatkan juara selepas wisel penamat ditiupkan," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Farihin berkata, sebanyak 73 bas dari setiap daerah akan membawa penyokong BOS menuju ke SNBJ dengan perjalanan konvoi bermula kira-kira jam 10 pagi.

"Ini tidak termasuk dengan penyokong yang bergerak secara sendiri dan yang hadir dari kawasan sekitar Lembah Klang," ujarnya.

Menurut Farihin, bersempena final itu pihaknya kita akan pastikan setiap penyokong menjaga tatasusila dalam keadaan mood bersesuaian susulan isu kemanusiaan yang menghimpit rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, sebelum perlawanan, kita akan melakukan gimik menaikkan tifo gergasi yang membawa mesej isu sejagat itu," katanya lagi.

Tambahnya, tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir itu masih terjual membabitkan tiket berharga RM100 ke atas.

"Penjualan tiket yang agak perlahan ini mungkin dipengaruhi situasi JDT yang saban tahun beraksi di pentas final, saya yakin tiket akan habis terjual sebelum perlawanan berlangsung," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!