Mentaliti juara JDT cukup ketara

JDT masih lagi pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia apabila melayan Terengganu dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Flash Sukan (Gambar kecil: Pekan)
JDT masih lagi pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia apabila melayan Terengganu dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Flash Sukan (Gambar kecil: Pekan)
A
A
A

PENYANDANG juara Johor Darul Ta’zim (JDT) masih lagi dilihat sebagai pasukan pilihan mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia apabila melayan Terengganu FC (TFC) dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Malah, pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli menyifatkan kemantapan setiap posisi skuad kendalian Estaban Solari sudah cukup menggerunkan pasukan pesaing Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Jelas Pekan, untuk saingan liga sahaja Harimau Selatan sudah meledak sebanyak 92 gol selepas mengharungi 25 perlawanan membuktikan ketajaman mesin gol pasukan selatan tanah air tersebut

“Selain dilengkapkan pemain import berkualiti seperti Heberty Fernandes, Bergson da Silva, Fernando Forestieri, kehadiran pemain naturalisasi seperti Corbin-Ong, Matthew Davies banyak membantu memperkuatkan pasukan.

“Aura kelincahan pemain muda yang sedang meningkat naik seperti Arif Aiman Hanapi juga boleh disifatkan sebagai pelengkap pakej kepada kecemerlangan Harimau Selatan dalam saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya.

Selain itu jelas Pekan, mentaliti juara yang diterapkan pemilik kelab Harimau Selatan, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga memainkan faktor penting.

“Winning mentality cukup ketara dalam kalangan pemain JDT, dari kesebelasan utama hingga pemain-pemain simpanan.

“Malah untuk beraksi dalam skuad utama setiap pemain perlu bersaing membuktikan keupayaan sebenar masing-masing untuk mengisi slot utama.

Artikel Berkaitan:

“Boleh dikatakan skuad ini tiada pemain bertaraf bintang kerana kejayaan diraih hasil dari pergerakan unit berpasukan yang diterjemahkan dalam bentuk kemenangan,” katanya.

Rekod 25 perlawanan tanpa kalah Liga Super juga disifatkan antara momentum yang akan diteruskan Harimau Selatan di pentas perlawanan akhir kali ini.

“JDT hanya seri sekali musim ini iaitu ketika terikat 3-3 ketika berdepan Kedah Darul Aman di Stadium Darul Aman di Alor Setar pada 29 Ogos lalu.

“Ini juga satu-satunya rekod bolos terbesar Harimau Selatan di luar Johor dalam saingan liga musim ini, namun selepas itu mereka meneruskan momentum positif mereka.

“ Semangat untuk ulangi menjulang empat kejuaraan piala semusim seperti musim 2022 juga menjadi faktor utama, selain faktor motivasi ekstrinsik yang bakal diterima (ganjaran kemenangan daripada JDT),” katanya.