Tidak akan jadi kemenangan mudah - Solari

Solari dan Kapten, Jordi Amat bergambar dengan Piala Malaysia ketika sidang media perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023 JDT dan TFC yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Solari dan Kapten, Jordi Amat bergambar dengan Piala Malaysia ketika sidang media perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023 JDT dan TFC yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tidak melihat pertembungan menentang Terengganu FC (TFC) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat akan menjadi aksi mudah buat Harimau Selatan.

Menurutnya, JDT tidak akan memandang rendah kemampuan TFC selain menyifatkan lawan mereka itu akan turun dengan aksi luar biasa.

"Tidak akan menjadi kemenangan mudah..untuk orang di luar sana (penyokong) mungkin mereka melihat ia mudah. Tetapi, pemain saya tahu kena ada usaha yang lebih untuk menang perlawanan esok.

"Namun, apa yang penting pemain JDT mempunyai mentaliti juara kerana mereka ada karakter, sikap, stamina dan permainan yang sama.

"Esok kami akan turun dengan falsafah sama dan sudah tentu kami mahukan kemenangan untuk menggembirakan penyokong dan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.

Kelebihan sudah tentu memihak kepada penyandang juara itu dalam aksi akhir esok berdasarkan dua aksi Liga Super tahun ini memihak kepada JDT.

Malah, kali terakhir TFC menang ke atas JDT adalah pada 2021 dan selepas itu JDT mendominasi pertemuan kedua-dua pasukan.

Solari turut mengakui TFC telah banyak melalui peningkatan dan turut memiliki ramai pemain berkualiti yang bakal memberikan ancaman kepada pasukan kendaliannya itu.

Artikel Berkaitan:

"Kami melihat semua pemain TFC sebagai ancaman dan seperti saya katakan sebelum ini kami mahu berpegang kepada sasaran utama untuk menang.

"Apa yang penting kami perlu beraksi baik dan menjadi pasukan yang kami mahukan barulah kami boleh berjaya," katanya.