Melaka bentang inisiatif tangani perubahan iklim di COP28

Rais (dua dari kiri) di EXPO City Dubai.
Rais (dua dari kiri) di EXPO City Dubai.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka mencipta sejarah tersendiri apabila terpilih membentangkan inisiatif menangani perubahan iklim sempena Persidangan Konvensyen Rangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) mengenai Perubahan Iklim (COP28) di Expo City Dubai, Dubai Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pembentangan itu dilakukan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin pada forum Local Governments for Sustainability (ICLEI) Responding to Climate Emergency in the Global South.

Menurut beliau, pembentangan kertas kerja bertajuk 'Pivotal Role of Melaka in Addressing The Climate Emergency' itu menyentuh tentang kejayaan negeri bersejarah ini dalam menangani perubahan iklim.

Kata beliau, ia meliputi inisiatif dan pelbagai langkah yang telah dilaksanakan kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menangani impak perubahan iklim.

"Inisiatif yang dibentangkan termasuk transformasi Sungai Melaka, daripada sungai yang kotor kini berubah menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia.

"Selain itu saya juga bentangkan berkenaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir yang telah kita lakukan pada setiap Sabtu bermula jam 6 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Ujar beliau, semua inisiatif yang telah direalisasikan itu bagi mengurangkan pelepasan karbon di lokasi tumpuan pelancong selain memelihara bangunan warisan khususnya dalam kawasan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Oleh itu kerajaan negeri komited dalam memastikan inisiatif jejak karbon terus diperkasakan dalam berhadapan dengan perubahan iklim pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!