Zayn Rayyan dipercayai mati dibunuh - Polis

Zayn Rayyan
Zayn Rayyan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang ditemui meninggal dunia berdekatan anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai pada Rabu dipercayai dibunuh.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat kecederaan pada bahagian tubuh badan mangsa.

"Berdasarkan laporan bedah siasat mendapati kecederaan pada bahagian leher dan badan mangsa.

"Kecederaan ini kita percaya berunsurkan jenayah dan siasatan lanjut kita akan jalankan selepas ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Lokasi Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya.
Lokasi Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengesan beberapa individu yang terlibat dalam kes ini.

"Setakat ini kita sedang kesan pihak yang terlibat dan tangkapan akan dijalankan susulan kejadian ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diharap dapat segera menghubungi polis untuk membantu siasatan.

Pada Rabu, mangsa berumur enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya di tengah hari Selasa lalu sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya pada malam Rabu.