HRPB terima 54 katil tambahan, tampung kesesakan pesakit

Sivanesan ketika sesi soalan lisan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis.
Sivanesan ketika sesi soalan lisan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini menerima 54 katil baharu bagi menampung penggunaan katil yang tinggi.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, penambahan itu melibatkan peruntukan RM500,000 yang diluluskan Kementerian Kewangan.

"Kesemua katil ini siap dipasang pada 29 November lepas dan telah menjalani proses pengujian dan pentauliahan pada hari sama sebelum diagihkan ke wad-wad.

"Kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap isu ini mengambil kira HRPB merupakan hospital terbesar dan menjadi rujukan rawatan kepada 14 hospital lain di negeri ini.

"Jadi adalah penting untuk kita pastikan segala peralatan dan kemudahan mencukupi keperluan pesakit," katanya menjawab soalan Goh See Hua (PH-Pasir Pinji) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.

Sivanesan berkata, bagi mengatasi masalah kesesakan dalam jangka masa panjang, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah mengemukakan projek menaik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma di bawah inisiatif keutamaan Perak.

Katanya, kerja naik taraf itu melibatkan penambahan ruangan klinikal, triage dan dekontaminasi dengan kos RM500,000 yang diluluskan dan perlu dibelanjakan pada tahun semasa.

"HRPB telah melaksanakan kajian pasaran pada 3 Oktober lalu dengan mendapatkan pandangan awal daripada enam syarikat kontraktor G-2 berkenaan kebolehsiapan projek dalam tempoh dikehendaki.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kesemua syarikat kontraktor memaklumkan projek tersebut tidak mampu untuk disiapkan dalam tempoh satu ke dua bulan kerana melibatkan kerja-kerja elektrikal dan medical gas yang memerlukan ketelitian dan kemahiran yang spesifik," katanya.