Mak Cik Kemboja, anak mengaku tidak salah hina Melayu

Mariyah (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen Melaka pada Khamis.
Mariyah (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen Melaka pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Wanita dikenali dengan gelaran Mak Cik Kemboja dan anaknya yang mencetuskan kontroversi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menghina orang Melayu.

Tertuduh, Mariyah Yaakob, 47, dan anaknya, Ezuan Hafsyam Mohd Hisyam, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membuat penyataan dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu melakukan kesalahan terhadap mana-mana kaum lain.

Perbuatan itu dilakukan menerusi rakaman video di aplikasi TikTok dan telah ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai di sini, pada jam 6 petang, 16 November lalu.

Pendakwaan terhadap ibu tunggal tiga orang anak itu dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, anaknya yang masih menyambung pengajian di luar negara didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 233(3) akta sama.

Dia didakwa secara sedar menggunakan aplikasi TikTok, memulakan penghantaran komunikasi jelik dikeluarkan ibunya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Mariyah (tengah) dan anaknya, Ezuan Hafsyam (belakang) tidak mengaku di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.
Mariyah (tengah) dan anaknya, Ezuan Hafsyam (belakang) tidak mengaku di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan tersebut dilakukan antara 14 November hingga 16 November 2023 lalu, menerusi aplikasi TikTok dan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka, Ahmad Sazali Omar tidak mencadangkan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan jaminan minimum RM30,000 bagi setiap tertuduh.

Pendakwaan juga mencadangkan supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah selain memohon perintah untuk menghalang kedua-dua tertuduh mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes bagi mengelakkan gangguan sepanjang prosiding mahkamah.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Kamal Hisham Ja'afar merayu jumlah jaminan rendah dikenakan terhadap dua beranak itu memandangkan perniagaan yang dijalankan oleh tertuduh terkesan selepas diboikot disebabkan kontroversi berkenaan.

Kamal Hisham turut memohon mahkamah untuk tidak menahan pasport dua beranak itu kerana Mariyah sering ke luar negara bagi urusan perniagaan manakala anaknya pula masih belajar di sebuah universiti swasta di luar negara.

Ahmad Sabri kemudian membenarkan dua beranak itu diikat jaminan dengan jumlah RM15,000 dikenakan terhadap Mariyah dan RM 10,000 terhadap anaknya.

Beliau turut membenarkan semua permohonan termasuk syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 12 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan wanita tersebut telah hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 21 November lalu bagi rakaman percakapan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 14 laporan berhubung klip tular wanita berkenaan yang mengeluarkan kata-kata ‘orang Melayu malas’ ketika membuat pentstriman langsung di TikTok, bulan lalu.

Menurutnya, seramai lapan individu telah dipanggil bagi membantu siasatan sejak 19 November lalu.

Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan sesuatu kaum.

Pada 27 November lalu, Mariyah dan anaknya telah membuat permohonan maaf secara terbuka berkaitan kes tersebut dan mendakwa ia ditujukan kepada bekas pekerja syarikat berkenaan serta sebagai motivasi kepada masyarakat.