Mariyah Holdings nafi tidak buat caruman KWSP, Socso

Mariyah
Mariyah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Usahawan dan pempengaruh media sosial, Mariyah Yaacob atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Makcik Kemboja,’ 49, menafikan syarikatnya, Mariyah Holdings Sdn Bhd (Mariyah Holdings) tidak melaksanakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan (Socso) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada pekerja-pekerja di syarikat berkenaan.

Menurutnya, perkara itu tidak berasas kerana syarikatnya memiliki pihak pengurusan bagi menguruskan kesemua urusan berkenaan.

“Saya tak perlu jawab soalan itu, sebab saya ada management sendiri yang menguruskan caruman KWSP dan Socso (kepada pekerja-pekerja).

“Kalau benar pihak Mariyah Holdings tidak membuat caruman tersebut, mereka bolehlah tunjukkan aduan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Saya rasa itu lebih arif (baik),” katanya dalam sidang media di kilang Mariyah Holdings pada Isnin.

Mariyah juga enggan mengulas soalan berhubung dakwaan syarikat Mariyah Holdings menggajikan pekerja asing tanpa permit.

Sementara itu, Pengurus Besar yang juga konsultan Mariyah Holdings turut menafikan tuduhan yang mengatakan syarikat berkenaan melakukan penipuan dalam urusan penjualan.

Katanya, kesemua urusan dibuat mengikut terma dan syarat yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Artikel Berkaitan:

“Kami menjual pakaian dan mereka (peniaga) beli. Kami berikan pakaian kepada peniaga dan mendapat bayaran yang sewajarnya.

“Jika berlaku kerosakan pada pakaian boleh dipulangkan semula kepada kami dan kami baiki sebab semua tu ada dalam terma dan syarat. Kami ni bukannya scammer. Itu adalah fitnah.

“Kalau nak pulangkan disebabkan pakaian itu tidak terjual, memang tak bolehlah sebab tak ada dalam terma dan syarat yang dipersetujui sebelum itu,” katanya.