Lebih banyak usaha diperlukan beralih dari sumber hasil balak, lombong

Tengku Hassanal bertitah, perlu diakui bahawa sumber hasil tradisi berkenaan menjadi kebergantungan rakyat mencari rezeki. - Foto Bernama
Tengku Hassanal bertitah, perlu diakui bahawa sumber hasil tradisi berkenaan menjadi kebergantungan rakyat mencari rezeki. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih banyak usaha melalui pendidikan dan tekad politik diperlukan untuk beralih daripada sumber hasil negeri berasaskan pembalakan dan perlombongan kepada sumber alternatif yang lebih mampan.

Pada masa sama, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, perlu diakui bahawa sumber hasil tradisi berkenaan menjadi kebergantungan rakyat mencari rezeki, justeru memerlukan pendekatan menyeluruh.

“Berkenaan perubahan untuk negeri beralih daripada hasil tradisional seperti perlombongan, pembalakan dan lain-lainnya. Industri ini memang sudah ada sejak 200 hingga 300 tahun. Rakyat kita bergantung kepada aktiviti pembalakan dan perlombongan ini.

“Maka, untuk lakukan peralihan memang memerlukan perubahan minda menyeluruh untuk rakyat cari cara lain meraih hasil. Kita perlukan banyak usaha berkaitan pendidikan, dasar dan tekad politik yang lebih kuat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Untuk rekod, Pahang meraih pendapatan sebanyak RM135 juta pada 2022 menerusi kutipan premium, royalti dan beberapa caj lain tidak termasuk kutipan cukai khas, menurut Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Lanjutan itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan kutipan RM1.137 untuk tahun 2024 dengan meninjau sumber alternatif selain daripada aktiviti perhutanan.

Beliau berkata demikian selepas pembentangan Belanjawan 2024 negeri Pahang pada Isnin.

Artikel Berkaitan: