HARA Rasuah Busters bawa tiga elemen penting

HARA Rasuah Busters 2023 akan diadakan pada 13 hingga 14 Disember di Kompleks Kumpulan Karangkraf. Gambar kecil: Nurhayati
HARA Rasuah Busters 2023 akan diadakan pada 13 hingga 14 Disember di Kompleks Kumpulan Karangkraf. Gambar kecil: Nurhayati
A
A
A

SHAH ALAM - Program Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 buat julung kalinya menyediakan pelbagai pameran dan aktiviti khas selama dua hari bagi menyampaikan mesej antirasuah serta membentuk kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama pelajar dan peniaga tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, program pada 13 hingga 14 Disember itu akan diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf melibatkan pameran daripada rakan-rakan sinergi gabungan Rasuah Busters.

“Kita harap penglibatan orang awam secara khusus sebab kita nak mengangkat satu kepimpinan yang boleh dibangunkan melalui kesedaran menolak rasuah, kepimpinan dalam kalangan pelajar dan pengusaha-pengusaha perniagaan.

“Kita terangkan pada orang ramai mesej antirasuah boleh menjadi sesuatu yang menarik dengan adanya pameran seperti doodle dan kita juga maklumkan pada orang ramai bagaimana gerakan antirasuah boleh dimulakan di pelbagai peringkat ekosistem,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ujar Nurhayati, terdapat beberapa aktiviti khas yang disediakan dalam program berkenaan termasuk pameran dan aktiviti dari pelbagai agensi, SME Integrity Talk, Wacana Khas HARA 2023, Apresiasi Puisi Anti Rasuah, Kompas Rasuah Busters, Bicara Bina Negara (IKRAM), persembahan daripada kanak-kanak tadika.

“Kita juga ada bawa perkongsian daripada jabatan penjara, contohnya melakukan perkongsian daripada penjenayah yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah kolar putih ini.

“Penglibatan jabatan penjara boleh menampakkan realiti akibat perbuatan jenayah yang dilakukan itu. Jadi ini peluang untuk kita mendidik orang ramai supaya mereka dapat membayangkan dan nampak sendiri perkara tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, penganjuran HARA Rasuah Busters 2023 turut membawa tiga elemen penting meliputi hak asasi, ekonomi dan sosial sebagai komponen yang akan tergugat akibat perbuatan rasuah.

Artikel Berkaitan:

“Memandangkan rasuah adalah satu perkara yang membudaya dan sistemik, cara penyelesaian juga kena sistemik.

“Ini adalah ruang dan peluang kepada orang ramai untuk lihat kalau kita hendak maju ke hadapan, berdepan dengan dunia persaingan ini, salah satu perkara yang perlu ada adalah jujur, amanah dan berintegriti.

“Bagaimana kita hendak menjadi seperti itu, kena tengok apa yang ada dalam HARA 2023 nanti,” menurutnya.

Pameran daripada rakan-rakan sinergi Rasuah Busters turut melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Institut Integriti Malaysia (IIM); SIRIM Berhad (SIRIM); Jabatan Penjara; Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

No Image Caption