Netanyahu didesak letak jawatan

BENJAMIN NETANYAHU
BENJAMIN NETANYAHU
A
A
A

TEL AVIV - Pertemuan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bersama ahli keluarga tawanan pada Selasa telah menjadi 'medan konfrontasi' hingga sebahagian daripada yang hadir mendesak beliau meletak jawatan.

"Keadaan sangat tegang dan riuh dengan jeritan ahli keluarga tawanan yang masih belum dibebaskan. Mereka berang dengan sikap sambil lewa kepimpinan Netanyahu dan ada yang melangkah keluar ketika beliau mahu berucap.

"Waris keluarga berkeras mahu kesemua 138 tawanan dan sejumlah warga asing dibawa pulang segera," kata ibu kepada Hanan Yablonka yang masih berada di bawah tawanan di Gaza.

Antara individu yang meninggalkan acara itu ialah Dani Miran yang melahirkan rasa sangat kecewa.

"Ia membuktikan pemerintah sebenarnya gagal dan hanya cakap kosong. Mereka dakwa lakukan pelbagai cara sedangkan individu sebenar di belakang proses itu ialah pemimpin Hamas di Gaza, Yahya Sinwar.

"Saya tidak dapat menahan kemarahan apabila kerajaan cuba memutar-belit kenyataan dan menabur janji tidak pasti," kata Miran yang hiba mengenang nasib anak lelakinya yang masih belum dilepaskan.

Netanyahu yang berdepan kritikan bertalu-talu bagaimanapun cuba mempertahankan kelemahan pentadbirannya.

"Saya memberitahu anda fakta sebenar. Kami tidak boleh membawa kesemua tawanan pulang secara serentak. Jika ada peluang sedemikian, adakah anda fikir sesiapa di sini akan membantah?" katanya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, kebanyakan keluarga menuding jari menyalahkan kerajaan ekstremis tersebut kerana terburu-buru menarik diri daripada rundingan di Qatar pada 2 Disember lalu atas alasan gagal mencapai sebarang kemajuan menerusi rundingan untuk memperbaharui jeda kemanusiaan di Gaza.

Hamas juga meletakkan syarat ia tidak akan membebaskan mana-mana tawanan selagi perang ganas ke atas wilayah terkepung itu yang kini berlarutan selama dua bulan tidak dihentikan segera. - Agensi