Gaza semakin buruk setiap jam - WHO

WHO berkata keadaan di Semenanjung Gaza semakin memburuk setiap jam. - Foto Xinhua
WHO berkata keadaan di Semenanjung Gaza semakin memburuk setiap jam. - Foto Xinhua
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata keadaan di Semenanjung Gaza semakin memburuk setiap jam.

Wakil WHO di wilayah Palestin yang diduduki, Richard Peeperkorn memberitahu pemberita di Geneva melalui pautan video dari Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada Selasa, bahawa jumlah penduduk yang berpindah dari tengah dan selatan Gaza terus meningkat, lapor Palestine News and Information Agency (WAFA).

Keadaan semakin teruk. Serangan bom terus meningkat di merata tempat, termasuk di sini di kawasan selatan," kata Peeperkorn.

"Orang ramai terdesak dan mengalami kejutan kekal. Kami berhadapan keadaan yang paling teruk," katanya sambil menambah bahawa pengeboman dan kehilangan nyawa yang tidak masuk akal mesti dihentikan.

"Keutamaan kami sepatutnya menghantar secara berterusan bekalan perubatan dan trauma ke Gaza."

Peeperkorn berkata jumlah bantuan yang berjaya dibawa oleh WHO ke Gaza "terlalu kecil".

Daripada 36 hospital di Semenanjung Gaza, hanya lapan belas yang beroperasi dengan kapasiti terhad. Tiga menyediakan pertolongan cemas asas sahaja, manakala selebihnya menawarkan perkhidmatan separa.

Dua belas daripada hospital yang berfungsi ini terletak di wilayah selatan. Pada masa ini, terdapat 1,400 katil hospital yang tersedia di Semenanjung Gaza, jauh berkurangan berbanding 5,000 katil yang sasarkan oleh WHO.

Artikel Berkaitan:

Peeperkorn berkata sejak permulaan perang, terdapat 120,000 jangkitan pernafasan akut, hampir 26,000 orang dengan kudis dan kutu, 86,000 kes cirit-birit termasuk 44,000 dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun, yang merupakan 20 hingga 30 kali lebih tinggi daripada yang dijangkakan.

Sementara itu, kira-kira 1,150 kes jaundis serta kes cacar air, ruam kulit dan meningitis juga direkodkan.

Sekurang-kurangnya 16,248 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 43,616 cedera dalam serangan udara dan darat Israel yang tidak henti-henti di kawasan itu sejak 7 Oktober. - Bernama