Isham sahkan tak hadir mesyuarat MKT UMNO malam ini

Isham Jalil - Foto Bernama
Isham Jalil - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mengesahkan beliau kekal dengan pendiriannya untuk memprotes dan tidak menghadiri mesyuarat parti itu, termasuk yang diadakan malam Rabu walaupun dicabar Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk hadir.

Isham menegaskan, beliau akan terus melakukan protes itu selagi Ahmad Zahid meneruskan kerjasama dengan DAP.

“Baru tadi Presiden UMNO arahkan saya untuk datang mesyuarat malam ini. Beliau buat kenyataan akhbar secara terbuka.

“Saya sudah kata sebelum ini yang saya kekal dengan pendirian saya untuk protes dan selagi dia membuat keputusan untuk pergi pilihan raya (bekerjasama) dengan DAP, saya akan protes dan tidak akan hadir mesyuarat yang beliau pengerusikan.

“Ini penggal kedua saya dalam MKT, saya sudah boleh baca apa yang beliau akan buat dalam mesyuarat. Buat apa saya ikut kemahuan dia dan datang tadah muka di lubuknya. Kalau beliau ikhlas, mungkin boleh tunaikan cabaran untuk berdebat dengan saya sebelum ini di gelanggang yang neutral. Kalau beliau berani,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada petang Rabu.

Ahmad Zahid Hamidi terdahulu dilaporkan mencabar Isham untuk menyuarakan bantahannya terhadap kerjasama dengan DAP pada mesyuarat MKT UMNO malam ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Isham perlu menyuarakan rasa tidak puas hatinya termasuk kononnya ada segelintir pemimpin UMNO menjadi barua DAP yang menjadi punca parti itu ditolak oleh orang Melayu susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Sabtu lalu.

Mesyuarat MKT UMNO dijadual diadakan pada jam 8.30 malam ini di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Isham mendakwa, Ahmad Zahid sepatutnya sedar dan menerima hakikat serta tidak berada dalam sindrom penafian bahawa lebih ramai orang-orang Melayu kini menolak UMNO ekoran keputusan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk bekerjasama dengan DAP selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jika keadaan ini berterusan, UMNO akan hancur dalam beberapa tahun lagi oleh kerana keputusan ini.

“UMNO adalah parti keramat yang memperjuangkan orang-orang Melayu di Malaysia selama ini. Usahlah kerana kepentingan diri seluruh parti hancur lebur dibuatnya,” ujarnya.

Susulan itu, Isham turut mencabar Ahmad Zahid supaya meletakkan jawatan bagi menyelamatkan UMNO.

“Jika Datuk Seri letak jawatan, saya pun akan letak jawatan. Kita sama-sama berkorban asalkan parti keramat ini dapat diselamatkan selagi ada masa,” tegasnya.