Coca-Cola Malaysia lancar Kempen 'Recycle Me!'

Triyono (dua dari kiri) melancarkan kempen Recyle Me! disaksikan oleh Shafreez (kiri), Dr Kasuma dan Hiroyuki. - Foto MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Triyono (dua dari kiri) melancarkan kempen Recyle Me! disaksikan oleh Shafreez (kiri), Dr Kasuma dan Hiroyuki. - Foto MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bagi memupuk kesedaran orang ramai mengumpul bahan buangan seperti botol plastik jenis PET untuk dikitar semula, Coca-Cola Malaysia dengan kerjasama AEON Malaysia, Hiroyuki Industries dan Trash4Cash melancarkan kempen Recyle Me!

Kempen yang bermula pada 14 Disember 2023 hingga 29 Februari 2024 itu menawarkan ganjaran 10 sen bagi setiap 10 botol PET yang ditebus orang ramai.

Kempen Recyle Me! bermula pada 14 Disember 2023 hingga 29 Februari 2024. - Foto MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Kempen Recyle Me! bermula pada 14 Disember 2023 hingga 29 Februari 2024. - Foto MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Pengarah Operasi Francais Barat PACS, Coca-Cola Malaysia, Triyono Prijosoesilo berkata, selain wang tunai mereka yang menyertai program kitar semula ini juga layak mendapat hadiah eksklusif Coca-Cola.

Menurutnya, ini merupakan salah usaha pihaknya memastikan pengunaan bahan buangan seperti botol PET dapat dimanfaatkan kembali untuk pembungkusan minuman keluaran syarikat itu.

“Kita mahu budayakan program kitar semula kerana ramai yang tidak sedar bahawa kempen ini juga boleh menambah hasil pendapatan indvidu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Kempen Pelancaran Recyle Me! di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Turut hadir Pegawai Sumber Manusia & Kelestarian, AEON Malaysia, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi; Ketua Pegawai Eksekutif, Trash4Cash, Shafreez Redza Mhd Saiful Anuar dan Pengarah Eksekutif, Hiroyuki Industries, Lionel Choong.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Kasuma berkata, AEON Malaysia menyokong usaha berkenaan dengan menyediakan lokasi untuk membolehkan orang ramai menghantar dan menebus ganjaran menerusi botol PET yang telah dikumpul.

“Sebanyak 15 cawangan AEON sekitar Lembah Klang,Melaka,Negeri Sembilan dan Johor bersedia menerima kehadiran orang ramai yang ingin menghantar botol PET yang dikumpul untuk tujuan penebusan ganjaran,” katanya.

Dalam pada itu, Shafreez Redza berkata untuk memudahkan lagi proses menebus semula, pengguna kini boleh mengimbas kod QR pada Smart Recycle Bin untuk memberikan butiran mereka.

“Pelanggan kemudian akan dihubungi untuk memudahkan proses penebusan ganjaran.

“Visi Trash4Cash adalah untuk membantu komuniti mengembalikan pembungkusan pasca pengguna mereka sebagai langkah ke arah menjaga alam sekitar kita dengan lebih baik,” ujarnya.