KKR bakal lancar kempen naik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melancarkan satu kempen yang memperluaskan advokasi dan kefahaman berkaitan keselamatan penyelenggaraan jalan raya.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, selain kerja-kerja penyelenggaraan, kempen itu merupakan usaha untuk mengatasi masalah jalan berlubang atau rosak dan isu terkait perabot jalan yang lain.

Beliau berharap agar kempen itu dapat meningkatkan keterlibatan semua pihak terutama pemain industri, agensi kerajaan, swasta dan rakyat sendiri dalam usaha menjaga jalan raya serta infrastruktur yang berkaitan.

“Isu jalan berlubang dan masalah berkaitan infrastruktur dan perabot jalan seperti lampu jalan, papan tanda dan sebagainya, bukanlah perkara baharu di Malaysia.

“Banyak kes seperti ini berlaku sama ada di Jalan Persekutuan di bawah bidang kuasa KKR mahupun di jalan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Isu ini mungkin nampak seperti kecil kepada sesetengah pihak, tetapi saya tidak memandang ringan kerana kesannya boleh menyebabkan kemalangan dan kematian. Isu melibatkan nyawa tidak boleh dipandang sebelah mata,” katanya dalam satu hantaran pada Selasa.

Alexander berkata, beliau juga mahu kempen yang bakal dilancarkan itu berorientasikan tindakan, berlandaskan konsep tindakan lebih berkesan dari kata-kata.

Ujar beliau, walaupun terdapat kempen seperti itu sebelum ini, polisi yang baik wajar diteruskan dengan memberi suntikan penambahbaikan.

“Melalui kempen ini juga, saya mahu memperkukuhkan ‘No Wrong Door Policy’. Ini bermakna, sistem aduan awam di bawah bidang kuasa KKR juga akan ditambah baik.

“Saya mengakui peranan penting aduan awam yang tidak boleh dipandang sebelah mata dan mempunyai kuasa yang tersendiri.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua rakyat yang prihatin. Perincian kempen ini akan saya kongsi dalam masa terdekat,” ujarnya.