Nasib tiga beranak tinggal di rumah usang dapat perhatian

Juhan menunjukkan keadaan dalam rumahnya yang usang
Juhan menunjukkan keadaan dalam rumahnya yang usang
A
A
A

REMBAU - Kehidupan tiga beranak yang terpaksa menghuni sebuah rumah usang di Kampung Chenong Ulu, Chengkau di sini kerana kesusahan hidup mendapat perhatian daripada pihak berwajib.

Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Rembau, wakil daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah(KKDW) telah turun padang melihat keadaan rumah Juhan Junjong, 53 pada Rabu.

Ketua Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Rembau, Muhammad Aiza Zamrose berkata, pihaknya telah pun memanjangkan permasalahan dihadapi bapa tunggal tersebut kepada KKDW untuk dipertimbangkan dan sedang menunggu kelulusan.

"Kita pun dah pernah turun sebelum ini untuk melihat keadaan rumah bapa tunggal ini dan kita telah mengesyorkan rumahnya untuk dibaik pulih.

"Tapi terpulang kepada penilaian teknikal KKDW sama ada sesuai untuk baik pulih atau bina baharu berdasarkan keadaan semasa rumahnya," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Sementara itu Juhan berkata, dua tahun lalu dia telah membuat permohonan membina rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat(PPR), tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas, menyebabkan dia memohon pula bantuan baik pulih rumah tahun lalu.

Muhammad Aiza (kiri) melawat
Muhammad Aiza (kiri) melawat

Katanya, dia mencuba nasib membuat permohonan bantuan tersebut selepas diberitahu oleh ketua kampung ketika itu mengenai bentuk bantuan yang sediakan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Bila ada peluang saya cubalah memohon kerana nak baik pulih memang saya tak mampu, apatah pula membina rumah baharu.

"Tapi bila tengok tiada apa-apa maklum balas, saya anggap bukan rezeki saya dan tidaklah mahu menyalahkan sesiapa. Cumanya kalau ada bantuan, saya sangat bersyukur," katanya.

Jelasnya lagi, dia tidak berhasrat membina rumah baharu di tapak tanah rumahnya ketika ini kerana itu merupakan tanah adat yang dimiliki kakaknya.

Oleh sebab itu katanya, dia cuba memohon membaik pulih rumah tersebut.

"Saya hanya fikir untuk anak-anak, kesian mereka tinggal dalam keadaan begini," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Juhan terpaksa tinggal di rumah pusaka dengan sebahagian dinding yang hampir reput dimakan anai-anai serta bocor pada kebanyakan bumbung bersama anak lelaki berusia 13 tahun dan anak perempuan berusia lapan tahun.

Kesusahan hidup menyebabkan hanya itu tempat tinggal yang mampu disediakan Juhan untuk mereka sekeluarga.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!