Fasha Sandha tidak 'gelap mata', tolak 15 tawaran

Foto Instagram fashasandha
Foto Instagram fashasandha
A
A
A

AKTRES dan duta produk, Fasha Sandha tidak menolak menjadi usawahan pada masa depan mengikut jejak langkah rakan seperjuangannya seperti pelakon dan pengacara Neelofa atau pelakon, pengacara, model dan penyanyi, Nur Fazura yang kini bergelar jutawan.

Menurut Fasha, 39, masanya belum tiba kerana ketika ini amat sibuk dengan kerjayanya dalam bidang lakonan sambil menjadi duta produk tempatan.

"Belum lagi sebab terlalu aktif dalam bidang lakonan. Masih belum lagi bersedia untuk 'slow down' (dalam bidang lakonan).

"Saya kalau nak berniaga atau nak buat produk kena ada masa yang banyak dan boleh fokus kepada bisnes.

"Macam sahabat saya yang lain contoh macam Neelofa, Fazura dan sebagainya, mereka 'slow down' dan kurang aktif sikit jadi mereka boleh tumpu pada perniagaan.

"Begitu juga dengan saya, sebab saya masih lagi aktif, tak boleh buat dua benda dalam satu masa.

"Jadi saya fokus untuk lakonan dan jadi duta ambil dulu cari pengalaman, kalau ada rezeki nanti insya-ALLAH.

"Saya belum fikir lagi produk apa sebab masih lagi aktif dalam bidang lakonan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran kedai tekstil Al Faro cawangan Johor di Uda Business Centre, Bandar Baru Uda di sini pada Ahad.

Farooq (tengah) bersama Fasha Sandha memberi sumbangan kepada anak-anak yatim selepas pelancaran kedai pakaian Al Faro cawangan Johor di Uda Business Centre, Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada Ahad lalu.
Farooq (tengah) bersama Fasha Sandha memberi sumbangan kepada anak-anak yatim selepas pelancaran kedai pakaian Al Faro cawangan Johor di Uda Business Centre, Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada Ahad lalu.

Sementara itu, mengenai menjadi duta untuk sesebuah produk, beliau akan memberi tumpuan dan tidak mahu menerima tawaran lain daripada syarikat yang menawarkan produk sama.

Beliau menolak lebih 15 tawaran daripada syarikat lain sebelum ini walaupun ada pihak yang memberikan tawaran lebih tinggi tetapi menjual produk sama di pasaran.

"Kita buat kerana cinta pada produk tersebut, contoh produk kecantikan atau kurus, ada brand dah 'lock' kita dan ada 'brand' lain pulak nak 'lock' dengan harga lebih tinggi.

"Tapi saya bukan seorang yang fikir tentang duit semata-mata.

"Saya fikir apa yang saya guna apa yang saya 'consume' untuk saya kongsi dengan 'followers' saya," katanya yang kini mempunyai 5.3 juta pengikut dalam laman Instagram miliknya.

Mengenai perkembangan bidang lakonan, Fasha memberitahu, dirinya kini sibuk menjalani penggambaran drama 50 episod bertajuk Malang Si Puteri sebagai watak utama yang akan bersiaran di Astro Ria pada Februari ini.

"Drama ini yang masih dalam penggambaran mengambil masa selama dua bulan dan bakal menjadi fenomena.

"Ceritanya sangat luar biasa mengisahkan seorang puteri yang sangat malang dan sentiasa ditimpa pelbagai kesusahan dan dianiaya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al Faro, Farooq Ahmed Khan berkata, Fasha dipilih menjadi duta Al Faro bagi cawangannya yang kesepuluh di Malaysia dan pertama di Johor itu dalam usaha memperluaskan perniagaan yang dibina sejak 2007.

Farooq yakin dengan perluasan rangkaian cawangan terbaharu itu selepas di Shah Alam akan mencapai pendapatan melebihi RM30 juta pada 2024 dan sasaran itu bukan impian kosong semata-mata tetapi penuh dengan strategi yang dibuat mengikut keadaan semasa.

"Saya yakin dengan melihatkan usahasama kerajaan yang mengambil langkah proaktif menyelesaikan kemerosotan ekonomi semasa.

"Apa-apapun kami tetap komited memberi sumbangan positif kepada pasaran Malaysia dalam mendorong pertumbuhan ekonomi negara," tambahnya.