Antara jaga rakyat dan jaga privasi

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

TIDAK lewat untuk penulis mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada Sabtu lalu.

Memperoleh majoriti besar sebanyak 37,220 undi, Ahmad Samsuri atau dikenali sebagai Dr Sam, 53, mengalahkan rekod 27,179 yang disandang Che Alias Hamid yang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Peningkatan lebih 10,000 undi majoriti itu menafikan jangkaan awal firma perunding bahawa undi majoriti diperoleh Pas pada PRU15 merosot berdasarkan pelbagai faktor.

Bagi calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, walaupun tewas namun harus juga diberi pujian kerana menyahut cabaran untuk berada di gelanggang PRK Kemaman.

Kempen sudah, kalah dan menang pun sudah diketahui, kini tinggalkan PRK Kemaman sebagai satu lipatan sejarah negara.

Bagi 222 Parlimen dan 576 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang turut sama bertungkus-lumus berkempen untuk calon masing-masing, kembalilah dengan tugas hakiki berkhidmat untuk rakyat.

Bercerita mengenai wakil rakyat, dalam menyampaikan perkhidmatan sampai ke segenap lapisan masyarakat, tidak dinafikan mereka perlulah mempunyai hubungan baik dengan pengamal media.

Ibarat aur dengan tebing, seperti isi dan kuku yang saling memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Bukan hanya berita sensasi, politikus sudah pasti akan dikejar media sekiranya ada perkara berbangkit di dalam masyarakat.

Sebaik membuat keputusan masuk ke dalam dunia politik, wakil rakyat perlu tahu kepentingan orang-orang media di dalam karier mereka.

Sesekali kena cuit, alah bisa tegal biasa. Perkara sebegini perlu dilihat dari sudut positif yakni membantu dan mendorong politikus untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, tidak hanya sibuk berpolitik 24 jam sahaja.

Tidak dinafikan ada ahli politik di Malaysia yang enggan mewujudkan hubungan secara terus dengan pengamal media, sedikit sebanyak menenggelamkan kedudukan beliau di pentas politik secara tidak langsung.

Lebih-lebih mereka yang mempunyai kedudukan di dalam Kabinet atau berpengaruh dalam struktur parti politik masing-masing.

Misalnya, ada antara mereka lokek untuk berkongsi nombor telefon peribadi kepada pengamal media dengan alasan mahu jaga privasi.

Jika pihak media ingin mendapatkan penjelasan mengenai suatu isu atau permasalahan setempat, pengamal media terpaksa melalui pihak ketiga iaitu pegawai atau pejabat wakil rakyat terbabit.

Ini amat menyukarkan kerana selain pegawai bertugas bekerja mengikut waktu pejabat, adakala jawapan yang diberikan pegawai wakil rakyat ini kepada media tidak mencapai maksud dimahukan, apatah lagi untuk dijadikan bahan pemberitaan.

Bagaimana jika ada sesuatu sesuatu isu yang wakil rakyat perlu bertindak segera? Sudah tentu akan jadi lambat.

Bahkan, ada juga pihak ketiga yang dihubungi tidak mampu untuk memberi kerjasama seperti diharapkan.

Penulis memberi contoh, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sewaktu menjawat jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, beliau antara wakil rakyat yang mudah dihubungi media.

Semasa berbahas di Dewan Rakyat pada 7 Oktober 2021, veteran politik itu turut mengambil langkah berani menghebahkan nombor telefon beliau agar penyampaian perkhidmatan dapat dilakukan segera 24 jam sehari.

Walaupun talian tersebut banyak kali tergendala disebabkan dihujani ribuan panggilan dan mesej, tapi cukup menggambarkan keseriusan beliau dalam bertugas untuk rakyat.

Penulis berharap ada lebih ramai lagi wakil rakyat yang berbuat seperti Shahidan.

Perlu diingat, menjadi wakil rakyat bermakna sedia berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk masyarakat setempat.

Jika apa yang dilakukan mereka tidak memuaskan hati pengundi, jangan pula merungut apabila dihukum pengundi pada pilihan raya seterusnya.

* Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian Putrajaya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!