Surat terbuka kepada Tun Mahathir: Jangan sampai sokong bawa rebah!

No Image Caption
A
A
A

TUN Dr Mahathir Mohamad mempunyai sebab untuk membenci akhbar Utusan Malaysia sebelum ia ditutup.

Apa yang mereka buat pada Tun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memang tidak boleh dipertahankan.

Memang bukan rahsia lagi akhbar milik syarikat Utusan Melayu (M) Berhad itu telah digunakan tanpa malu oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengecam Tun dan pimpinan pembangkang pada masa itu.

Tun pun tahu bukan Utusan Malaysia sahaja yang berbuat demikian.

TV3 milik Media Prima Berhad dan kesemua akhbar kumpulan New Straits Times Press (NSTP) turut berbuat demikian.

Kesemua penerbitan itu menjadi kuda tunggangan UMNO dan BN bagi memastikan mereka terus berkuasa.

Apabila Tun menang bersama Pakatan Harapan (PH), pimpinan editorial di TV3 dan akhbar kumpulan NSTP bertukar serta-merta tetapi di Utusan Malaysia, hal itu tidak berlaku.

Mereka masih percaya agaknya bahawa UMNO dan BN akan kembali memerintah dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Nazak

Syarikat Utusan Melayu yang berusia 80 tahun itu semakin nazak. Ia menghadapi krisis kewangan yang teruk. Syarikat tidak boleh lagi membayar gaji pekerja.

Tiba-tiba muncullah seorang ahli perniagaan untuk mengambil alih Utusan Melayu. Kononnya mereka mahu ‘menyelamatkan’ Utusan Melayu.

Syarikat Utusan Melayu bermula dengan keringat dan air mata pengasasnya seperti Yusof Ishak dan A Rahim Kajai pada tahun 1939.

Sepanjang 80 tahun usianya, ia menjadi suara keramat orang Melayu.

Mungkin benar UMNO telah menjual kepentingan mereka dalam Utusan Melayu tetapi kita semua tahu bahawa UMNO tidak pernah mengumumkan berapa banyak hasil penjualan daripada kumpulan itu atau mungkin juga penjualannya dibuat secara penuh rahsia.

Pada ketika itu, muncullah watak seorang pakar yang kononnya akan melakukan sesuatu yang istimewa bagi menyelamatkan Utusan Melayu.

Beliau sebenarnya seorang broker dan tidak lebih daripada itu. Beliaulah yang menasihatkan tuan punya Utusan Melayu yang baharu bagaimana untuk menjayakan syarikat tersebut.

Peliknya broker itu datang daripada parti yang menyebabkan Utusan Melayu menjadi setia membabi buta.

Orang itu juga dipercayai menjadi broker dalam banyak percaturan perniagaan membabitkan FGV dan beberapa syarikat utama kerajaan PH.

Orang itulah yang mulai menemui pengarang di Utusan Melayu secara rahsia dan memberitahu mereka bahawa syarikat itu hanya perlukan seramai 90 kakitangan untuk bergerak dan survive.

Beliau juga kemudian menjajakan teori ‘90 pekerja memadai’ di kumpulan NSTP yang dimiliki oleh Media Prima Berhad.

Bersama-sama pengurusan baharu Utusan Melayu, mereka sudah merancang untuk menggulung-tikarkan Utusan Melayu.

Apabila mereka menubuhkan syarikat baharu untuk mengambil alih Utusan Melayu, mereka namakan Dilof Sdn Bhd. Sudah pastilah nama itu memang sengaja dipilih untuk menyampaikan mesej tertentu.

‘Dilof’ mungkin pendekan daripada ungkapan bahasa Inggeris deeds in lie of foreclosure atau lebih kurang terjemahannya – langkah awal sebelum tindakan menutup syarikat. Ia adalah frasa perniagaan yang biasa.

Tentulah memang sudah bermain dalam fikiran mereka bahawa mereka akan menutup Utusan Melayu. Dengan cara itu, mereka akan menyelamatkan puluhan juta ringgit membayar pampasan kepada pekerja.

Rintihan

Pekerja Utusan Melayu yang berdedikasi pada syarikat selama ini meraung kepedihan. Mereka tidak menjangka hal itu akan berlaku.

Pemimpin UMNO sudah lepas tangan, sedangkan merekalah yang menjadi punca syarikat itu hilang kredibiliti. Sebaliknya mereka menyalahkan kerajaan PH kerana syarikat Utusan Melayu gulung tikar.

Pekerja menemui Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM).

KVUM telah beberapa kali menyuarakan pandangan mereka tentang isu itu melalui sidang media.

KVUM berasakan tindakan pengurusan pada pekerja sama sekali tidak bertanggungjawab.

KVUM juga memberi amaran jangan sampai ada pihak yang akan mendapat manfaat daripada penjualan aset Utusan Melayu yang masih banyak.

Besar kemungkinan setelah diselesaikan segala hutang-piutang, ada baki yang akan difaraidkan.

Oleh sebab itu, KVUM juga meminta agar kesatuan sekerja wartawan syarikat itu diberikan akses maklumat penjualan aset Utusan Melayu oleh syarikat likuidasi.

KVUM juga telah meminta bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KVUM ingin tahu mengapakah begitu mudah lesen akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia serta Kosmo dipindah pada syarikat lain.

Mereka juga ingin tahu apakah justifikasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan pemindahan lesen daripada Utusan Melayu ke Dilof Sdn Bhd dan kemudiannya ke sebuah syarikat yang dimiliki oleh hartawan, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Seperti yang diduga, Muhyiddin tidak memberikan laluan untuk KVUM menemui beliau.

KVUM faham hubungan Muhyiddin dengan pemilik baharu lesen akhbar itu yang bermula dari Johor lagi.

Tentulah Muhyiddin akan mengutamakan kawan daripada mantan petugas akhbar yang sudah gulung tikar.

KVUM dan teman-teman mantan wartawan Utusan Melayu juga faham bahawa Tun sendiri baik dengan pemilik syarikat berkenaan.

Beliau seorang dermawan tetapi membabitkan diri dalam Utusan Melayu dan kemudiannya Media Prima Berhad bukanlah langkah yang baik untuk nama baik beliau.

Istimewa

Tun sendiri mempunyai hubungan yang istimewa dengan Utusan Melayu. Tun sentiasa percaya pengaruh akhbar milik Utusan Melayu semasa Tun menjadi Perdana Menteri pusingan pertama dulu.

Jikalau tidak, tentu tidak bertukar ketua pengarang sebanyak tiga kali di Utusan Melayu semasa Tun menjadi Perdana Menteri.

Tun tahu pengaruh Utusan Melayu pada UMNO dan rakyat pada era sebelum adanya media sosial.

Tun sentiasa mengambil tahu apa yang tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tun membuang sahabat Tun sendiri, (Allahyarham) Tan Sri Zainuddin Maidin apabila beliau membuat kesilapan pada tahun 1992. Tun menyingkirkan (Tan Sri) Johan Jaaffar sewaktu krisis Tun dengan Datuk Seri Anwar pada tahun 1998.

Sepatutnya kerajaan PH belajar daripada kesilapan kerajaan BN dalam soal mengawal media. Tun berjanji akan membebaskan media.

Kerajaan PH berjanji tidak akan menguasai syarikat media, baik secara langsung atau menggunakan proxy. Itu janji pilihan raya PH.

Janji kosong

Tetapi hakikatnya dengan membenarkan orang dipercayai rapat dengan Tun menguasai media dan berlakunya perlumbaan dalam kalangan pimpinan PH untuk mengawal media, semua itu jadi janji kosong semata-mata.

Tun sepatutnya melarang mana-mana pihak yang rapat dengan Tun atau pimpinan PH untuk memiliki syarikat media.

Biarkan media bebas. Contohilah Sinar Harian yang dimiliki oleh Kumpulan Karangkraf yang sehingga hari ini dianggap telus dan tulus.

Apa yang berlaku dalam PRK Tanjung Piai baru-baru ini sepatutnya menjadi pengajaran bagi PH.

Di sebalik sokongan terbuka media arus perdana pada calon PH, beliau tewas dengan teruk.

Media arus perdana sudah tidak boleh memenangkan mana-mana parti, sebaliknya media sosiallah yang akan menentukan pilihan pengundi masa hadapan.

Mungkin Tun sedar bahawa dalam tiga tahun kebelakangan ini, lebih 5,000 petugas media telah diberhentikan. Orang media perlu mengambil masa untuk membuat penyesuaian.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin teruk sekarang, pilihan untuk mereka sebenarnya sangat terbatas.

Apakah gunanya Tun membenarkan mana-mana hartawan, broker atau pecacai menguasai mana-mana syarikat media? Dan jangan lupa kebanyakan mereka ini tidak tahu apa-apa tentang media.

Mereka akan buat apa sahaja untuk menunjukkan mereka menyokong Tun. Sokongan cara itu sebetulnya boleh membawa rebah.