Pulau Pinang, Kedah juara Berpasukan Antara Negeri 100PLUS Kebangsaan

Barisan pemain lelaki Kedan dan perempuan Pulau Pinang nyata unggul selepas menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Antara Negeri 100PLUS Kebangsaan di Dewan Badminton PBA di Bukit Dumbar baru-baru ini.
Barisan pemain lelaki Kedan dan perempuan Pulau Pinang nyata unggul selepas menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Antara Negeri 100PLUS Kebangsaan di Dewan Badminton PBA di Bukit Dumbar baru-baru ini.
A
A
A

PULAU Pinang dan Kedah berada dalam kelas tersendiri apabila menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Antara Negeri 100PLUS Kebangsaan di Dewan Badminton PBA di Bukit Dumbar, Pulau Pinang baru-baru ini.

Tampil selaku tuan rumah, Pulau Pinang mengesahkan kejuaraan bagi kategori perempuan Bawah 16 tahun apabila melakar kemenangan 2-1 ke atas Johor dalam aksi final.

Begitupun, Pulau Pinang terlebih dahulu ketinggalan apabila pemain perseorangan pertamanya, Oo Shan Zi tewas 21-13, 19-21, 17-21 kepada Dania Sofea Zaidi.

Dania, juara dua kali kategori Bawah 16 tahun Kejohanan Badminton Remaja Tertutup Johor, mempamerkan semangat tinggi untuk memberikan Johor mata pertama.

Pulau Pinang berjaya menyamakan kedudukan apabila gandingan Christine Lam Mei He-Nicole Tan Pei En hanya mengambil masa setengah jam untuk mengalahkan Hasyni Devid Sahathevan-E Yun Lai 21-12, 21-15.

Turun dalam aksi perseorangan kedua, Lim Zhi Shin memberikan mata kemenangan Pulau Pinang apabila menewaskan Zi Yu Low dalam pertarungan tiga set 16-21, 21-12, 23-21.

Dengan Pulau Pinang memenangi gelaran kedua dalam tempoh dua tahun, tempat ketiga menjadi milik Selangor yang mengetepikan Kuala Lumpur 2-1 dalam saingan klasifikasi ketiga/keempat.

Sementara itu, Kedah mengungguli kategori lelaki Bawah 16 tahun apabila mencipta kejutan menewaskan penyandang juara, Selangor 2-0 di pentas final.

Artikel Berkaitan:

Branson Hee yang memenangi semua perlawanan dalam perseorangan lelaki sebelum aksi final, menyumbang mata pertama Kedah selepas melakar kemenangan 20-22, 21-11, 21-14 ke atas Kee Is Qian.

Selangor cuba untuk kembali bersaing dalam acara beregu, namun gandingan Louis Tan Hom-Loh Ziheng terlalu ampuh apabila menewaskan Tiew Wei Jie-Tiew Yi Cheng 21-17, 21-18.

Perak pula menduduki tempat ketiga dalam kategori lelaki selepas menewaskan Pulau Pinang 2-1 dalam saingan klasifikasi ketiga/keempat.