Rombakan Exco: Saya tak nak ada masalah - Saarani

Saarani (dua dari kanan) menerima sumbangan Perak SADC untuk Bantuan Makanan Percuma ketika Majlis Penyerahan Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Pejabat Menteri Besar Perak, di sini pada Selasa.
Saarani (dua dari kanan) menerima sumbangan Perak SADC untuk Bantuan Makanan Percuma ketika Majlis Penyerahan Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Pejabat Menteri Besar Perak, di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Tiada sebarang rombakan Exco kerajaan negeri mahupun portfolio dibuat selepas setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tiada sebarang keperluan untuk sebarang rombakan tersebut dilakukan.

"Kita sudah setahun dan dalam tempoh setahun ini pada saya tak ada masalah timbul.

"Jadi kerana itu saya tak akan cuba untuk membuka ruang kepada masalah baharu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Selasa.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri Perak akan meneruskan Program Bantuan Makanan Percuma kepada calon peperiksaan utama untuk tahun ketiga dengan peruntukan sebanyak RM2.67 juta.

Menurutnya, pada tahun ini program tersebut memberi manfaat kepada 26,628 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) melibatkan 238 buah sekolah di Perak.

"Program Bantuan Makanan Percuma di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani yang sudah masuk tahun ketiga pelaksanaannya telah memanfaatkan kira-kira 200,000 orang pelajar.

"Pelajar yang terlibat akan menerima makanan tengah hari pada kadar RM5 seorang selama 20 hari semasa sesi kelas tambahan, kelas intensif dan tuisyen bermula dari cuti penggal ketiga sesi 2023/2024 sehingga ke tarikh peperiksaan yang dijadual berakhir pada Mac 2024," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peruntukan bagi inisiatif berkenaan disumbangkan lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri iaitu Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc).

Jelasnya, dana berkenaan disalurkan melalui akaun amanah Tabung Didik Sejahtera Perak dan setiap sumbangan yang disalurkan turut menerima pengecualian cukai pendapatan syarikat.